Kurikulum Pemuda Al-Kahfi VS Pengikut Dajal

- Advertisement -

WALAUPUN namanya surah al-Kahfi, namun kisah Ashabul Kahfi hanya pada ayat ke-9 hingga 26 sahaja. Sama seperti surah al-Baqarah, kisah mengenai lembu hanya pada ayat 67 hingga 74.

Walau bagaimanapun, bermula ayat 27, ia berupa resolusi daripada kisah Ashabul Kahfi. Ayat-ayatnya dimulakan dengan feel amr iaitu berbentuk arahan-arahan.

Dalam buku Di Bawah Naungan al-Kahfi, saya dedikasikan tajuk khusus mengenai resolusi ini dengan nama Formula Tarbiah Sahsiah Harakiah. Ia merangkumi ayat 27 hingga 31.

Saya cuma ingin berkongsi kandungan ayat 28. Ia menggambarkan peribadi pemuda Ashabul Kahfi. Ia juga arahan kepada semua umat Islam untuk mengikutinya.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِینَ یَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِیِّ یُرِیدُون وَجۡهَهُۥۖ

وَلَا تَعۡدُ عَیۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِیدُ زِینَةَ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ 

وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطࣰا

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata. 

Janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia, 

“Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Ayat ini mengandungi tiga arahan:

 (1) Sabar bersama Islamis yang ikhlas.

Ia membawa maksud mesti bersama jamaah Islam. Bila berada di dalam jamaah, perlu sabar dengan mereka. Oleh kerana mereka hanya mengharapkan redha Allah, biasanya mereka ini tidak popular, tidak berada dan sering menegur. Maka untuk bersama mereka, kita juga perlu jadi ikhlas. 

Mereka yang cari dunia, tak akan tahan hidup bersama orang ikhlas. Kita lebih tahu diri sendiri. Biasanya tuhan akan jadikan kita rapat dengan orang sekepala juga.

(2) Jangan abaikan mereka kerana dunia.

Perintah ini kesinambungan perintah terdahulu. Tuhan tahu, kita akan lebih selesa bersama pihak yang boleh memberi kita habuan dunia. Sama ada wang Ringgit, keseronokan, pangkat, pengaruh dan seumpamanya. Membuatkan kita mudah mengabaikan teman seperjuangan selepas didampingi ‘orang luar’ yang bermatlamatkan dunia. Lebih-lebih lagi jika kita berada di posisi penting.

(3) Jangan turuti orang Fasik.

Bila banyak didampingi ‘orang luar’, mereka akan cuba mempengaruhi pemikiran dan keputusan kita. Di sinilah pentingnya amaran tuhan ini. Walaupun tampak logik dan rasional, namun tidak semestinya ia bertepatan dengan ajaran agama kita.

Jangan terpengaruh dengan penasihat sekeliling walaupun mereka berstatus Pengarah, CEO, pegawai tinggi, memiliki PhD atau apa sahaja. Selagi mereka bukan berfikrah perjuangan Islam, pandangan mereka tidak seharusnya dianggap primer.

Konklusinya, ikhlaskan diri, utamakan Ukhuwwah Islamiah dan wala’ hanya kepada Allah, Rasul dan jamaah. Inilah yang akan menjaga kita terus istiqamah di atas kebenaran.

Jika ingin membaca lanjut, boleh lihat pada tajuk “Ayat 27: Rasuah Dajal Merosakkan Wala”. Ya! Ini semua ada kaitan dengan Dajal. Bak kata Syeikh Ali Nadawi dalam menghuraikan surah al-Kahfi, zaman yang kita hidup hari ini adalah zaman Tadjil, zaman Kedajalan. Sistem dunia hari ini umpama kurikulum merekrut pengikut-pengikut Dajal sebelum kemunculannya tidak lama lagi.

Salam Jumaat, salam al-Kahfi!

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -