K’jaan naikkan Elaun Sara Hidup Nelayan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan daripada RM250 kepada RM300 sebulan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam jelas membuktikan keprihatinan tinggi kerajaan dalam membela nasib golongan itu terutama ketika menghadapi pandemik COVID-19.

Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail berkata pengumuman itu  merupakan khabar gembira bagi golongan nelayan terutama nelayan pantai yang kebanyakannya terjejas dengan penularan wabak itu.

“Nelayan yang paling banyak terjejas adalah yang bekerja sendiri, mengusahakan tangkapan sendiri. Walaupun mereka boleh turun ke laut mencari ikan namun yang banyak terkesan adalah kawasan nelayan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

- Advertisement -

“Memang mereka boleh jalankan aktiviti nelayan tapi dari segi memasarkan ikan hanya terhad di kawasan PKPD. Peraih luar mengalami kesukaran untuk masuk ke kawasan PKPD…di situ ada sedikit terjejas,” katanya kepada Bernama ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri itu.

Azrin Shah berkata kenaikan elaun itu juga sedikit sebanyak membantu para nelayan menampung perbelanjaan bulanan termasuk pembelian barangan asas dan perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.
 
Sementara itu, lebih 700 nelayan di Bachok dan Pasir Puteh, Kelantan meluahkan kesyukuran dan rasa terharu dengan kenaikan itu yang disifatkan amat bermakna dan tepat pada masanya.

“Kenaikan itu tepat pada masanya dalam keadaan situasi ekonomi nelayan yang tidak menentu terutama dalam sebulan dua lagi mereka langsung tidak dapat menangkap ikan disebabkan musim tengkujuh,” kata  Pengerusi  Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Saripuddin Ishak.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Semerak (Tok Bali)  Zahari Samat pula berkata, kenaikan itu dapat meringankan beban lebih 100 nelayan di kawasan berkenaan, dalam menampung kenaikan harga barang.

“Ia  melegakan dan juga dapat membantu bagi menghadapi musim laut bergelora sehingga awal tahun depan,” katanya.

Muhyiddin mengumumkan kenaikan itu ketika berucap melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit Huma, di Dataran Bagandang, di Beaufort, kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah semalam. – BERNAMA

- Advertisement -