Khairuddin tuntut ganti rugi RM 1 juta

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menuntut tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta kepada akhbar bahasa Mandarin, Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation.

Tuntutan tersebut dikemukakan sebagai pampasan terhadap fitnah membabitkan penyiaran gambar peribadi Mohd Khairuddin dan isterinya ketika bercuti di Belanda pada 2016.

Advertisement

Tuntutan dibuat melalui firma guaman Zulpadli & Edham dalam notis bertarikh 14 September 2020 dan diterima oleh agensi media tersebut semalam, bertarikh 17 September 2020.

Berdasarkan notis tuntutan tersebut, Sin Chew Daily telah menyiarkan foto Mohd Khairuddin bersama isteri melalui artikel bertajuk “Gambar Khairuddin berada di luar negara terdedah! Teresa Kok: Sebenarnya pergi melancong di tempat mana?” pada 1 September lalu.

Bagaimanapun penerbitan foto dan artikel tersebut yang turut dikongsi dalam laman Facebook Sin Chew Daily itu telah pun dipadamkan.

Sementara itu, firma guaman tersebut turut menjelaskan mereka diarahkan anak guamnya untuk mengumpul kenyataan dan berita termasuk di media sosial berhubung penyebaran foto tersebut.

Jelas firma tersebut, foto tersebut merupakan foto peribadi lawatan anak guam mereka bersama isteri ke Belanda sekitar tahun 2016 iaitu ketika musim sejuk, namun dimanipulasikan sebagai foto ketika lawatan Mohd Khairudin ke Turki awal Julai tahun ini.

“Anak guam kami menegaskan bahawa beliau sering ke Belanda sejak 2016 hingga 2019 atas kapasiti peribadi dan urusan kerja termasuk berkunjung ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk menghadiri perbincangan bagi membawa Israel ke muka pengadilan berkenaan isu kezaliman terhadap Palestin.

“Oleh yang demikian, kami telah diarahkan anak guam kami untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan menimbulkan persepsi jahat terhadap beliau,” kata firma guaman tersebut semalam kepada portal media Kosmo.

Firma guaman Zulpadli & Edham turut menggesa agensi media terbabit, Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation menghentikan segala fitnah terhadap anak guamnya dan diminta membuat permohonan maaf kepada Mohd Khairuddin tanpa syarat mengikut cara yang dipersetujui oleh beliau dalam tempoh tujuh hari dari notis tersebut.

Agensi media terbabit juga perlu memberi jaminan dan aku janji secara bertulis bahawa tidak akan mengulangi penerbitan foto mahupun artikel fitnah atau tuduhan serupa terhadap Mohd Khairuddin dalam tempoh tujuh hari dari notis berkenaan.

Tambah firma guaman berkenaan, prosiding undang-undang akan dimulakan terhadap Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation jika kedua-duanya gagal melaksanakan semua tuntutan tersebut termasuk memadamkan artikel dan foto tersebut. – HARAKAHDAILY 18/9/2020