Kerajaan PN terbukti berfungsi bantu rakyat

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian-kajian menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang berfungsi kerana dapat membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 di negara ini dalam tempoh yang singkat. 

Perdana Menteri berkata kajian itu juga mendapati Kerajaan PN terbukti mampu membela nasib semua rakyat melalui bantuan yang disalurkan kepada mereka sehingga tiada yang tertinggal. 

“Banyak pihak yang buat kajian mendapati Kerajaan PN adalah kerajaan yang paling popular. Saya mereka panggil ‘Abah’. 

Advertisement

“Bukan saya yang cakap, ini bukan masuk bakul angkat sendiri tetapi realitinya dalam masa yang singkat terbukti kerajaan dapat menangani masalah (dengan) membantu rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Sepanggar, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Karambunai Datuk Yakub Khan dan calon BN bagi kerusi Darau Datuk Jumat Idris dalam Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini. 

Beliau berkata usaha dan langkah diambil Kerajaan Persekutuan yang diterajui PN dalam menangani pandemik COVID-19 dianggap terbaik di dunia. 

“Ini menunjukkan keupayaan kerajaan untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan baik selepas ekonomi teruk dan kehidupan terjejas semasa penularan COVID-19 di negara ini,” katanya. 

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata rakyat perlu memastikan kerajaan yang menerajui Sabah adalah selari dengan Kerajaan Persekutuan. 

“Oleh itu, rakyat Sabah perlu mengundi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan. Hubungan yang rapat antara kerajaan negeri dan pusat penting bagi memastikan ekonomi di Sabah dapat dipulihkan dengan lebih cepat. 

“Kita mahu bangunkan semua negeri di seluruh Malaysia agar ia lebih pesat dan saya mahu pembangunan itu dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh rakyat jelata. Kalau ini dapat dilakukan, ekonomi negara akan naik semula,” katanya. 

Rakyat Sabah akan mengundi pada 26 September ini manakala pengundian awal pada 22 September. – BERNAMA