Kaum wanita sebahagian dari tonggak perpaduan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota telah turut serta dalam program Jelajah Muafakat Anggun Wanita  bersama Wanita Umno Bahagian Indera Mahkota ke Kampung Cherating, di sini semalam.

- Advertisement -

Program bersama ADUN Kuala Sentul merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat  Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWP), Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin ini turut disertai Wanita MIC.

Sesi jelajah ini memuatkan pengisian serampang dua mata dengan penyampaian sumbangan kewangan kepada beberapa pesakit kronik, sesi penyerahan borang bantuan ibu tunggal, lawatan ke Pusat Anyaman Mengkuang Cherating dan ziarah kasih.

Di dalam ucapannya Dato’ Sri Shahaniza Shamsudin memberitahu kepada semua wakil politik yang hadir mengenai fungsi MPWP yang mengambil masa setahun untuk ditubuhkannya selepas kejatuhan Kerajaan BN pada PRU14.

Jelasnya MPWP lebih tertumpu kepada sektor membasmi kemiskinan, masalah sosial wanita dan keluarga di mana golongan yang perlu dibantu akan disalurkan ke jabatan-jabatan berkaitan termasuklah segmen motivasi pengawalan emosi wanita yang dilanda kemiskinan.

Selain itu maklumnya, bagi membantu mereka dari segi ekonomi, MPWP juga berfungsi memasarkan produk golongan ini sama ada secara tempatan mahupun global hinggalah ke khidmat nasihat pembungkusan produk keluaran mereka.

‘Wanita Bijak Berilmu dan Berhemah’ juga beritahunya, merupakan tagline MPWP kerana wanita akan dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan rakyat yang turut diperluas peranan itu kepada semua kaum.

Sebab itu katanya, Ahli-ahli Majlis adalah disarankan dilantil sama daripada wanita Melayu, India, Cina dan juga dalam kalangan Muslimat PAS.

Beliau menggalakkan agar semua Ahli Majlis duduk semeja berbincang dan melaksanakan program kebajikan bersama tanpa memilih kaum dan latar belakang fahaman politik yang berbeza.

Bagi beliau perpaduan itu sangat penting kerana perpaduan adalah asas kepada pembentukan negara yang Merdeka dengan penduduk berbilang kaum berlatarkan adat resam dan agama yang berbeza-beza.

“Situasi ini penting dipertahankan agar negara berada dalam keadaan aman makmur dan stabil bukan sahaja di sudut ekonomi malah  dari sudut keamanan sejagat. Andai berlaku pergaduhan antara kaum, tak mungkin negara akan stabil dari segi ekonominya.

“Sebab itu pentingnya Ahli Majlis terdiri dari pelbagai kaum wanita dan latar belakang politik yang berbeza,” ujarnya lagi.

Semua kaum di Malaysia juga tegasnya, mesti kena saling hormat menghormati hak-hak semua kaum dan penganut agama di mana rakyat tidak perlu risau kerana semua sudah termaktub  dalam Perlembagaan Negara. – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -