Harga minyak sawit makin meningkat

KUALA LUMPUR: Harga Minyak Sawit Mentah (MSM) terus menunjukkan peningkatan kepada RM2,999 satu tan di akhir dagangan semalam.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataannya menzahirkan kesyukuran dengan peningkatan harga tersebut.

Advertisement

“Moga semua warga sawit Malaysia boleh tersenyum gembira. Jangan lupa bayar zakat perniagaan hasil keuntungan agar keberkatan terus dicurahkan oleh Allah,” kata Mohd Khairuddin dalam penulisan di Facebooknya hari ini.

Peningkatan itu pasti melegakan puluhan ribu pekebun kecil malah menguntungkan pihak industri yang terkesan ekoran jumlah eksport menyusut beberapa bulan lalu.

Pada tahun lepas, harga minyak sawit jatuh ekoran negara India yang merupakan pengimport hasil sawit dari Malaysia telah bertindak menghentikan perdagangan import sawit dengan Malaysia susulan kritikan bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Selain itu, harga sawit turut mengalami turun naik susulan tindakan negara-negara Eropah mengadakan kempen memboikot minyak sawit negara.

Walau bagaimanapun, masalah itu sedang diatasi apabila Mohd Khairuddin mengambil keputusan untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) membabitkan kempen anti-minyak sawit oleh blok berkenaan.

Langkah proaktif yang diambil oleh kementerian itu sejak Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan telah mendapat reaksi positif daripada pengusaha-pengusaha sawit, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi peneroka. – HARAKAHDAILY 18/9/2020