Cermin diri dalam menggalas tanggungjawab

- Advertisement -

AYER KEROH: Menjadi pemimpin institusi masyarakat bermakna menggalas amanah yang cukup berat iaitu amanah kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, maka pimpinan PAS di semua peringkat terutama kepada lebih 300 ahli PAS yang dilantik dalam JPKK dan 14 institusi masjid wajib bercermin dan menilai diri.

- Advertisement -

Demikian nasihat Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang diungkapkan beliau ketika menjadi panelis dalam program bual bicara ‘100 hari PAS di dalam Kerajaan Negeri Melaka’ yang berlangsung di Hang Tuah Jaya, di sini dan telah disiarkan secara langsung di Facebook PAS Negeri Melaka pada malam 16 September lepas.

Beliau seterusnya membacakan ayat al-Quran Surah Al-Qasas ayat 26 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.”

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka menambah, semua pimpinan yang menjadi wakil PAS wajar fokus, terus meningkatkan ilmu pengetahuan dan bersungguh-sungguh untuk melakukan tugas yang terbaik dengan penuh kejujuran dan berintegriti sesuai dengan ajaran Islam.

“Ini penting agar gerakan Islam ini terpelihara daripada fitnah, berdaya saing untuk melangkah di medan operasi.

“Pemimpin tidak amanah, pemimpin tidak berintegriti, akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara. Kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih utamakan agenda bina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil.

‘’Jawatan, kerja, tugas yang dipegang bukan suatu kebanggaan untuk digunakan sebagai alat mencapai cita-cita dunia, tetapi ia amanah yang wajib ditunaikan dengan sempurna. Mudah-mudahan kerja dilakukan membawa faedah duniawi dan manfaat ukhrawi,” ujar beliau.- HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -