Tiada parti boleh memerintah bersendirian

Foto ABU ANAS

JASIN: Perubahan kepada konsep politik baharu yang melanda negara pada hari ini menuntut agar semua parti-parti yang berada dalam arus perdana untuk menerima prinsip berkongsi kuasa.

Umno-Barisan Nasional tidak boleh mendirikan kerajaan dengan Barisan Nasional semata-mata. PAS tidak boleh memerintah dengan bersendirian dan parti Bersatu juga tidak boleh berdiri dengan bersendirian.

Advertisement

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek ketika berucap merasmikan program Himpunan Hari Malaysia Muafakat Nasional DUN Serkam dan Kenduri Kampung peringkat DUN Serkam di sini semalam.

Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka itu berkata, politik ini adalah dinamik dan semua parti-parti Melayu kena menerima konsep berkongsi kuasa di dalam era perubahan politik baharu yang melanda negara pada masa ini.

“Bila kita sedar perubahan politik ini berlaku, PAS dan Umno bersedia duduk semeja. Kalau dulu tuan-tuan tak boleh tengok PAS dan Umno nak duduk dalam satu khemah. Saya pun tak boleh tengok Dato’ Zaidi (ADUN Serkam) dulu ni. Dia pun tak boleh tengok saya.

“Itu sebab dia lawan saya (dalam) pilihan raya. Saya baik hati masa tu saya bagi dia menang, saya kalah tak apa. Itu dululah. Akan datang bagilah saya pula.” ujar Ustaz Kamarudin berseloroh sambil disambut dengan gelak tawa hadirin.

Program anjuran Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Kawasan DUN Serkam ini turut dihadiri Adun Serkam, Dato’ Zaidi Attan, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dira Abu Zahar, Ketua Pemuda PAS Kawasan Jasin, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin dan beberapa pemimpin-pemimpin PAS dan Umno tempatan. – HARAKAHDAILY 17/9/2020