Subky aktif ketengahkan PAS kepada bukan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Almarhum Haji Subky Abdul Latif atau dikenali Pak Subky antara individu yang paling aktif mengetengahkan perjuangan PAS kepada orang bukan Islam khususnya kaum Cina.

Beliau dinobatkan sebagai tokoh politik yang berdakwah secara tidak langsung melalui penulisannya di dalam Harakahdaily sehingga dianugerahkan Kesatria Mahkota Wilayah Persekutuan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Menurut Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir, walaupun pendidikannya bukan berlatarbelakangkan agama tetapi pautannya kepada keluarga yang mempunyai aliran agama menjadikan kehidupannya sangat berkat.

Ianya jelas apabila beliau berjaya mendidik anak-anaknya dengan menghantar mereka ke luar negara bagi menyambung pengajian ketika usia yang masih muda dan pada ketika itu menjadi sesuatu yang di luar kebiasaan.

Personalitinya yang amat berani dan sukakan cabaran menjadikannya seorang penulis yang kreatif dan kritis, malah penulisannya turut diiktiraf oleh golongan sosialis dan komunis pada ketika itu.

“Karya beliau sukar untuk dihukum kerana pandangannya sering di luar kotak, kritis dan mengemukakan isu dalam pelbagai pandangannya,” tambah Badlihisham.

Jelasnya, almarhum memberikan sumbangan yang paling besar kepada parti Islam itu dengan mencetuskan idea bagi penubuhan media penerangan pada ketika itu.

“Sumbangannya yang paling besar kepada PAS khususnya mengepalai surat khabar Harakah dan mendidik rakan-rakannya di dalam parti kaedah untuk menjadi seorang wartawan yang baik.

“Malah, almarhum terlibat secara langsung dalam menerbitkan surat khabar Harakah sehingga kini mencapai satu platform baru iaitu Harakahdaily,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum secara atas talian bertajuk Wacana Memperingati Allahyarham Haji Subky Latif anjuran Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, dekat sini, hari ini.

Forum tersebut menghimpunkan lima orang panel dari pelbagai institusi iaitu Pensyarah UTM, Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir, Pensyarah UKM, Dr Farid Mat Zain, Penyelidik USAS, Oummar Nor Aman Othman, Mantan Pengarah IPTG, Mohd Fadli Ghani serta turut dihadiri oleh anak almarhum Muhammad Ramadhan Subky.

Para panelis membentangkan kertas kerja masing-masing berhubung sumbangan, kerjaya dan kehidupan almarhum Haji Subky Latif. – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -