RTB Sungai Rampayan Manggatal akan dilaksana

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rampayan bagi mengatasi masalah banjir di Manggatal serta kawasan sekitarnya, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata berdasarkan rekod kementeriannya, projek bernilai RM36 juta itu yang diluluskan kerajaan terdahulu, tidak pernah ditarik balik meskipun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya berjanji akan memastikan projek ini dapat dilaksanakan untuk memastikan masalah banjir di kawasan Manggatal dan sekitarnya dapat diselesaikan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan calon Barisan Nasional (BN) bersama rakyat di Inanam semalam.

- Advertisement -

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan dan rungutan penduduk mengenai masalah itu yang disampaikan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Yakub Khan.

Turut hadir Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga calon BN di DUN Lamag, dan Datuk Jumat Idris calon BN bagi DUN Darau.
 
Tuan Ibrahim juga berkata PAS Sabah telah menyiapkan jentera untuk membantu calon BN dan PN semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“Semalam saya telah berjumpa dengan 500 (petugas) jentera parti PAS di seluruh Sabah dan hari ini, mereka balik ke kawasan masing-masing untuk membantu kempen calon parti sekutu yang bertanding di situ.

“Selain itu, lebih 20,000 ahli PAS yang ada di Sabah berjanji akan mengundi calon parti sekutu. Matlamat kita sama dan walaupun tiada calon PAS bertanding dalam PRN Sabah, kita beri sokongan penuh kepada parti sekutu kita,” katanya.

Bung Moktar pula berkata selepas lima hari berkempen, semangat dan momentum jentera parti semakin terserlah.

“Setiap hari saya akan memantau dan meminta laporan mengenai perjalanan kempen jentera parti di seluruh Sabah dan saya berpuas hati dengan perkembangan positif yang dilaporkan,” katanya.

Beliau juga berterima kasih dan berpuas hati dengan sokongan serta semangat yang ditunjukkan parti sekutu ketika membantu berkempen di setiap kawasan DUN yang ditandingi BN. – BERNAMA

- Advertisement -