Pilih Kerajaan Sabah sehaluan Kerajaan Persekutuan

KUALA PENYU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengundi perlu memilih Kerajaan Negeri Sabah yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pembangunan.

Perdana Menteri berkata Sabah akan menjadi lebih gemilang jika dipimpin Perikatan Nasional (PN) bersama-sama parti yang sehaluan dengannya.

“Saya tiada hak untuk menentukan kerajaan tapi anda ada hak. Dalam keadaan sebeginilah saya kira Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini akan menguji tahap kebijaksanaan pengundi dalam memilih kerajaan yang dikatakan mampu untuk uruskan pelbagai perkara secara baik,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama rakyat di sini hari ini.

Advertisement

Turut hadir Naib Pengerusi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury.

Di hadapan ratusan hadirin pada majlis yang menyaksikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, Muhyiddin turut berkongsi pengalaman Kerajaan PN ketika ini dalam menguruskan negara sewaktu mendepani pandemik tersebut.

Beliau berkata cabaran yang luar biasa perlu ditempuh kerajaan di bawah pimpinannya sewaktu pertukaran Perdana Menteri dan kepimpinan negara, selain dalam masa yang sama perlu membuat keputusan penting bagi mengawal penularan pandemik itu.

“Anda sendiri dapat saksikan dan anda sendiri memakai pelitup muka. Walaupun tidak diwajibkan tetapi anda patuh jangan duduk dekat-dekat, basuh tangan dan gunakan pensanitasi tangan.

“Hal ini tidak berlaku dalam sejarah dunia dan Malaysia. Hal ini perlu dibuat dan saya buatnya kerana demi negara. Kerajaan perlu buat tindakan pantas cepat dan berani. Jika tidak, wujud kemungkinan akan ada musibah dan bencana besar berkaitan COVID-19 ini,” tegasnya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Bersatu berkata kerajaan perlu memberi perlindungan kepada rakyat termasuk di Negeri Sabah kerana mereka berhak mendapatnya selain diberikan pembelaan sewajarnya.

Perdana Menteri berkata tugas mengurus negara dalam pasca COVID-19 ini masih belum selesai lagi namun perlu diteruskan termasuk usaha memulihkan ekonomi negara dengan pelbagai pelan yang telah dan akan dirancang.
 
“Ini soal kepimpinan negara, penting untuk uruskan negara dalam apa jua keadaan. Saya tidak kata saya bijak, memang mampu dan besarkan diri. Saya cuma ingin beritahu dalam situasi luar biasa, PN mampu jaga Malaysia,” tambahnya.

Muhyiddin berkata beliau menghargai sumbangan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal terhadap pembangunan sewaktu mengetuai Kerajaan Sabah sejak dua tahun lepas, seperti juga jasa mantan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman terhadap pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak nafikan apa yang kawan saya Shafie Apdal telah lakukan di Sabah. Macam juga apa Tan Sri Musa menjadi Ketua Menteri sudah banyak melakukan pembangunan di Sabah.

“Cuma harapan saya adalah, kerajaan yang dipimpin PN di peringkat Persekutuan, adalah kerajaan yang sehaluan di Sabah bersama-sama dengan gabungan parti lain.

“Jadi apa yang harus pengundi buat? Ubah tukar balik. Bukan balik seperti dahulu tapi balik dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.

Kerusi DUN Kuala Penyu menyaksikan pertarungan enam penjuru membabitkan Limus, selain Parijik @ Fredzex Bagang (Parti Gagasan Rakyat Sabah); Jepri Mapat (Parti Liberal Demokratik); Nelson W. Angang (UPKO); Cecilia Jompiuh (Parti Cinta Sabah); dan Mohd Fadzlee Lee Abdullah (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian PRN itu manakala pengundian awal pada 22 September dengan sejumlah 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya berkenaan. – BERNAMA