Perpaduan rakyat Malaysia di Qatar

- Advertisement -

JAM menunjukkan 8:30 malam waktu Qatar. Kira-kira lima jam di belakang waktu Malaysia. Saya bersama kawan-kawan secara beramai-ramai meluncur laju ke trek basikal olimpik di al-Khor, Qatar, bermula di Stadium al-Bayt, salah satu lokasi pertandingan Piala Dunia 2020, menuju ke arah Qatar Universiti, di Doha. Kami sebenarnya dalam program santai bersama sekumpulan kira-kira 30 rakyat Malaysia di Qatar, menyambut Hari Malaysia.

Saya telah dipelawa oleh teman saya, beberapa hari lalu bagi memeriahkan program ini. Apa yang istimewanya yang membuatkan saya sangat teruja untuk turut serta ialah, kami melalui trek berbasikal olimpik yang diisytiharkan sebagai trek terpanjang di dunia oleh Guinness Book of Record, iaitu 32.869km atau 20.4 batu pada minggu lalu. Pengalaman pertama saya.

Ia adalah trek yang sangat selamat kerana terpisah daripada lebuhraya utama al-Khor ke Doha. Dengan lebarnya kira-kira 7 meter, ia dibina bagi pertandingan basikal bertaraf dunia dengan keupayaan kelajuan sehingga 50km/j. Kami juga merasa amat selesa berkayuh malam dengan adanya 1,450 batang tiang lampu yang menerangi di sepanjang jalan ini.

- Advertisement -

Kami berkayuh sehingga separuh jalan sahaja iaitu di al-Daayen, sebuah kawasan pentadbiran daerah, disebabkan kesuntukan masa, kerana ada yang berkerja pada esok hari. Keseluruhan masa yang diambil berkayuh secara santai sejauh 24km ialah kira-kira satu jam 15 minit termasuk berehat. Sayang sekali oleh kerana program ini agak tergesa-gesa dibuat, maka Duta Malaysia ke Qatar yang baharu, TYT Zamshari Shaharan tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain yang lebih penting.

Apa yang menggembirakan kami semua di sini selain merasai trek terpanjang dan bertaraf dunia ini, sikap rakyat Malaysia di Qatar ini amat patriotik, walaupun berada jauh dari negara. Kami mempunyai kecenderungan politik masing-masing. Tetapi apabila ia melibatkan kecintaan kepada negara, kami bersatu, merapatkan barisan kami, tidak membenarkan sebarang percubaan meruntuhkan perasaan cintakan negara.

Dengan pandemik COVID-19 baru-baru ini, ia menakutkan banyak pihak. Ya, kami juga di sini merasa kerisauan itu. Keluarga berada jauh dari mata kita. Ada yang tidak dapat pulang menziarahi keluarga di Malaysia sama ada yang sakit atau meninggal. Tetapi ia lebih merapatkan kami di sini. Menjadikan kami keluarga kecil di Qatar ini, bertaut rapat.

Salah seorang rakan penganjur, Ahmad Hasnan berkata. Jika rasa patriotisma sebegini sentiasa diamalkan, alangkah bahagianya Malaysia. Berbeza pendapat dalam hal yang sepatutnya. Tetapi hati kita tetap bersama bagi mempertahankan negara yang telah bersusah payah dibina oleh nenek moyang kita.

“Ia tidak sukar untuk diamalkan. Walau siapapun kita, kita tahu bumi mana yang kita pijak dan langit mana yang mesti kita junjung.”

Menghormati antara satu sama lain. Tidak membenarkan pihak luar meletakkan acuan mereka kepada pemerintahan negara kita.

Kita sebenarnya sudah mencapai tahap pemikiran yang amat matang. Jadi program ini, mungkin tidak bermakna bagi sesetengah orang, namun cukup bererti bagi kami sebagai luahan kecil kecintaan kita kepada negara.

Sepanjang kayuhan kami malam tadi, ramai juga rakyat Malaysia yang datang dari arah Doha. Majoriti mereka yang berkayuh semalam ialah dari Malaysia. Dengan penuh bangga, pakaian mereka tertera bendera Malaysia di dada. Malah ada sekumpulan mereka telah menyediakan satu video bersempena Hari Malaysia.

Inilah cara kami menyambut Hari Malaysia jauh di perantauan. Sedikit, tapi meriah. Jauh tapi dekat. Bersusah payah tapi gembira. Resah tapi yakin. Yakin yang kita semua rakyat Malaysia akan menyerahkan jiwa dan raga kita kepada walaupun diresahi dengan sikap segelintir mereka yang tidak tahu menghormati negara kita.

Selamat Hari Malaysia dari kami di Qatar. – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -