Perkukuh perpaduan dengan hayati Rukun Negara

- Advertisement -

TAHUN ini merupakan tahun yang istimewa dan bersejarah kerana sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia disekalikan dengan sambutan Ulangtahun ke-50 Rukun Negara. Rukun Negara telah diisytiharkan oleh KDYMM Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong Tunku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin, di Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1970. 

Sejarah perpaduan Malaysia pernah tercemar dengan rusuhan kaum yang berlaku di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969. Kejadian yang berlaku selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum ketiga ini juga menyebabkan kira-kira 6,000 orang kehilangan tempat tinggal dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan musnah atau rosak serta 753 bangunan rosak atau terbakar. Menurut Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong, felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia bahawa Peristiwa 13 Mei memberi peringatan mengenai kebenaran peribahasa ‘kalah jadi abu, menang jadi arang’ kerana konflik ini merugikan semua kaum selain menjejaskan imej negara di persada antarabangsa.

Namun tindakan pantas daripada pihak kerajaan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussein telah berjaya mengekang rusuhan daripada terus merebak. Pelbagai kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti punca berlakunya rusuhan kaum. Antaranya ialah dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh British sewaktu menjajah Tanah Melayu. 

- Advertisement -

Umpamanya orang-orang berbangsa Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga kawasan lombong sebagai pelombong. Manakala orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Orang-orang India pula kebanyakannya pula sebagai buruh kasar atau pekerja di ladang. Corak penglibatan antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang. Dasar penjajah ini dilihat bertujuan melonggarkan perpaduan di antara pelbagai kaum yang mampu mengancam kedudukan mereka.

Dalam hal ini, Islam sebagai agama yang paling lengkap dan sempurna telah menegaskan bahawa manusia yang lahir dari pelbagai bangsa dan kaum mestilah saling kenal mengenali dan hidup bermasyarakat. Allah menyebut:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi maha mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu.”

(al-Hujurat: 13)

Untuk memastikan kejadian rusuhan kaum tidak berulang kembali, pihak kerajaan telah meletakkan asas penting untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya, iaitu: 

(1) Memelihara satu cara hidup demokratik;

(2) Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;

(3) Menjamin satu cara yang Liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak;

(4) Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

Hasilnya, beberapa dasar baru telah dilancarkan. Bagi ekonomi, dilancarkan Dasar Ekonomi Baru. Manakala bagi perpaduan, dilancarkan Rukun Negara.

Rukun Negara terdiri dari lima prinsip itu:

(1) Kepercayaan kepada Tuhan.

(2) Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

(3) Keluhuran Perlembagaan.

(4) Kedaulatan Undang-undang.

(5) Kesopanan dan Kesusilaan.

3 tindakan untuk perkukuhkan perpaduan

(1) Agama sebagai penyelesai masalah.

Prinsip pertama dalam Rukun Negara ialah kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini menunjukkan betapa penting masyarakat di Malaysia mengamalkan agama-agama masing. Ini juga menunjukkan bahawa golongan Atheis (tidak beragama) adalah golongan yang tidak diterima di Malaysia. Mengikut rekod banci penduduk dan perumahan 2010, 61.3 peratus penduduk menganut agama Islam, 19.8 peratus penganut agama Buddha, 9.2 peratus penganut agama Kristian dan 6.3 peratus penganut agama Hindu. Selebihnya menganut pelbagai agama seperti Sikh, Bahai dan lain-lain. 

Beragama adalah fitrah manusia, bahkan keimanan kepada Allah menjadi satu keyakinan kepada manusia khususnya apabila mereka berdepan dengan kesukaran yang tiada jalan keluar. Ini disebut oleh menerusi firmanNya:

وَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُۥ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُۥ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِىَ مَا كَانَ يَدْعُوٓاْ إِلَيْهِ مِن قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَٰبِ ٱلنَّارِ


“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan) sama ada ia sedang berbaring atau duduk atau berdiri, dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.” 

(Yunus: 12)

FirmanNya lagi:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku Tuhan kamu?, mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada kiamat kelak; “Sesungguhnya kami adalah lali (tidak diberi peringatan) mengenai (hakikat tauhid) ini.”

 (al-A’raf: 172)

Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya kembali mengamalkan ajaran agama masing-masing khususnya untuk menyelesaikan permasalahan semasa. Di sinilah perlunya ilmu perbandingan agama. Dalam hal ini, umat Islam meyakini bahawa Islam adalah cara hidup yang paling lengkap. Ini dibuktikan secara teori dan praktikal sepanjang pemerintahan Islam bermula zaman Nabi Muhammad S.A.W sehinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniyyah. Ini juga disebut oleh Allah S.W.T: 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

“Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redha Islam itu menjadi Agama untuk kamu.”

(al-Maidah: 3)

(2) Kepimpinan negara mesti dari kaum majoriti.

Kenyataan ini bukan bermakna rasis, tetapi untuk memastikan kestabilan sesebuah negara, kepimpinan mesti dilantik dari kaum majoriti. Ini disebut oleh Nabi S.A.W:

 لا يزال الإسلام عزيزا بخلفاء كلهم من قريش

“Islam akan sentiasa hebat dengan kesemua pimpinan daripada kaum Quraisy.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis berkenaan kepimpinan mestilah datang dari kalangan Quraisy memberi maksud bahawa kepimpinan mestilah datang daripada kaum majoriti yang mempunyai kekuatan. Apabila kepimpinan datang daripada kaum minoriti, tekanan yang datang berkemungkinan tidak mampu dihadapi dan memungkinkan berlaku rusuhan di luar jangka.

(3) Bahasa Melayu sebagai asas penyatuan.

Sebelum ini heboh berkenaan dengan penambahan sekolah Vernakular yang menimbulkan pelbagai perdebatan. Saya tidak ingin memanjangkan perbincangan tersebut. Cuma apa yang ingin disebut ialah masih terdapat di kalangan rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu. Lihat kepada perbahasan ahli Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, penggunaan tatabahasa Melayu yang cukup berterabur dalam keadaan negara sudah merdeka hampir 63 tahun! Sebab itulah penekanan Bahasa Melayu di sekolah Vernakular penting untuk mengutuhkan lagi perpaduan kaum di Malaysia. 

Kesimpulannya sempena sambutan Hari Malaysia, saya menyeru kepada semua untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan kita semua. Usah bermain dengan strategi musuh di luar yang inginkan kita bergaduh sesama sendiri. Jadikan Rukun Negara sebagai asas Perpaduan kita semua.

Selamat Menyambut Hari Malaysia”

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -