Melaka giat laksana projek pintar dan hijau

- Advertisement -

MELAKA: Melaka merupakan antara 28 bandar dari 11 negara di seluruh dunia yang terpilih bagi melaksanakan Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar dengan menerima pembiayaan berjumlah RM50 juta daripada Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF).

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman berkata pihaknya dilantik sebagai agensi pelaksana projek itu, manakala di peringkat  antarabangsa ia akan diuruskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata projek yang bertujuan mencapai objektif pengurangan pelepasan gas rumah hijau berdasarkan konsep sifar kos kepada penyumbang teknologi itu kini sedang dibangunkan secara berperingkat dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun. 

“Projek perintis ini akan menambah baik asas pembangunan pintar terhadap amalan hijau bagi pengangkutan awam dan mobiliti di Melaka melalui kenderaan pelepasan bukan karbon, seperti kereta elektrik.

Menerusi projek ini, pengurusan tenaga akan lebih teratur dan boleh dirangka strategi tertentu bagi mengurangkan lagi kos penggunaan elektrik secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Kesedaran dan Demonstrasi Grid Pintar di sini, semalam.
 
Majlis berkenaan dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Mohd Yusoff berkata selain memberi manfaat kepada 930,000 rakyat Melaka, penyumbang teknologi seperti pihak industri akan mendapat manfaat daripada sistem grid pintar termasuk akses kepada data masa nyata, pengurusan tenaga yang lebih efektif dan penjimatan tenaga.

Beliau berkata setakat ini 13 penyumbang teknologi termasuk empat pihak berkuasa tempatan antaranya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) serta wakil industri telah terlibat dalam projek perintis itu.

Sementara itu, Sulaiman berkata pemilihan Melaka membuktikan bahawa ia diiktiraf sebagai sebuah negeri yang terkehadapan dalam merealisasikan agenda hijau dan lestari bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kita telah mulakan awal lagi usaha ke arah bandar pintar atau negeri teknologi hijau jadi sudah pasti saya menyarankan lebih banyak agensi dan industri terlibat bagi menjayakan projek ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -