PASIR SALAK: Antara faktor yang menjadi punca penyalahgunaan dadah adalah disebabkan keadaan dan sistem institusi keluarga tidak stabil yang membuatkan anak-anak remaja tidak mendapat perhatian dan kawalan hingga berlalunya wabak gejala sosial.
Sehubungan itu, institusi keluarga dan masyarakat wajar memainkan peranan aktif bagi mencegah dan membanteras penyalahgunaan dadah, demikian seru Ketua Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak, Jamaliah Sudin.
Menurutnya, antara langkah pencegahan boleh diambil ibu bapa untuk menyekat anak-anak dari terjebak dengan dadah adalah dengan mengambil berat kelakuan dan kebajikan anak-anak, selain menjadi contoh yang baik buat mereka.
“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak berkawan dengan rakan-rakan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta menanam sikap jijik dan benci dadah kepada anak-anak sedari kecil,” ujarnya.
Beliau berucap dalam program ‘Keluarga Bebas Dadah’ anjuran pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Kampung Gajah yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Salak, di sini kelmarin.
Menurut beliau, apabila gejala dadah menular dalam masyarakat, akan ada banyak pihak yang dipersalahkan antaranya keluarga, kawan-kawan, pihak sekolah dan tempat kerja.
Sedangkan menurutnya, semua pihak memainkan peranan dengan mengambil tahu dan mengekang bahayanya dadah kerana mereka yang terlibat dengan gejala ini akan memberi kesan buruk kepada keluarga.
“Justeru ahli keluarga harus bersikap positif dan bertenang dalam menerima keadaan situasi tersebut dan harus memikirkan cara yang terbaik dalam menyelasaikan masalah ini,” peringatnya.
Biro Kawalan Narkotik maklumnya, sentiasa memantau dan membantu dengan memulihkan golongan ini di Pusat Pemulihan dan Rawatan Dadah di mana ahli keluarga digalakkan untuk melawat agar mereka mendapat sokongan dan perhatian.
Menerusi cara itu juga katanya, mereka yang terjebak dengan dadah dapat dipulihkan seperti sediakala walaupun memakan masa lama, selain ibu bapa perlu ada disiplin dalam rumah di mana setiap perbuatan salah anak perlu diperbetulkan.
Malah nasihatnya, kebebasan yang diberikan perlu ada batas disamping memantau kegiatan kehidupan anak-anak agar tidak terjebak dalam gejala tidak bermoral terutama dadah. – HARAKAHDAILY 17/9/2020