Kedaulatan Sabah harga mati!

- Advertisement -

KENYATAAN dari Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 28 Ogos lalu agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina untuk menyelesaikan isu tuntutan negara jiran kita itu terhadap Negeri Sabah adalah bersifat apologetik dan retorik semata-mata.

Umum tahu bahawa selama ini Malaysia menggunakan pendekatan diplomatik sebagai cara utama untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dengan negara-negara jiran termasuk melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes-kes tertentu.

Maka tidak ada alasan untuk menuduh Kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan sepatutnya bagi menyelesaikan isu-isu sensitif yang melibatkan kedaulatan tanah air. Sepatutnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menemplak pihak Filipina dan juga pihak kesultanan Sulu yang seringkali mendakwa Sabah adalah kepunyaan mereka.

- Advertisement -

Kenyataan balas yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai isu ini adalah contoh ketegasan yang patut dijiwai oleh semua warga Malaysia bahawa kedaulatan Sabah itu adalah harga mati, tidak boleh dirunding, ditawar-menawar atau ditukar-ganti. 

Mempersoalkan status Sabah sebagai sebahagian dari Negara Malaysia merupakan satu bentuk provokasi, tidak kira sama ada ia tercetus dari dalam atau dari luar negara ini, termasuk oleh mana-mana negara jiran. Maka pihak yang bermain api tersebut hanya ada dua pilihan sahaja, iaitu diplomasi (termasuk menghormati undang-undang dan pengiktirafan antarabangsa) atau konfrontasi (termasuk tindakan ekonomi dan ketenteraan).

Kepada warga Filipina atau wakil Kerajaan Filipina yang membaca artikel ini, ketahuilah bahawa kami rakyat Malaysia tidak berhajat untuk bermusuh dengan negara kalian. Sabah telah lama memilih untuk bebas merdeka bersama Malaysia. Ini fakta dan realiti yang wajar diterima. 

Filipina sebaliknya patut kembali kepada semangat menyatukan rumpun Melayu melalui konfederasi MAPHILINDO (Malaysia, Indonesia dan Filipina) seperti yang pernah diimpikan oleh tokoh pejuang kemerdekaan mereka, Dr. Jose Rizal. Konsep penyatuan itu juga pernah disuarakan oleh Wenceslao Vinzons, pemimpin gerakan bersenjata Filipina menentang penjajahan Jepun serta oleh Manuel L. Quezon, Presiden Filipina yang ke-2.

Usaha membawa keamanan di rantau ini pernah dipelopori oleh Presiden Filipina ke-9 Diosdado Macapagal apabila kerajaan beliau ketika itu menganjurkan sidang kemuncak di Manila di mana wakil-wakil Kerajaan Persekutuan Malaya (sebelum penubuhan Malaysia), Indonesia dan Filipina sama-sama menandatangani Perjanjian Manila pada 31 Julai 1963 bagi menyelesaikan pertikaian terhadap kawasan-kawasan bekas jajahan British di utara Borneo termasuk Sarawak.

Sebagai negara jiran yang dianggap serumpun, sewajarnya Filipina bertindak menghormati kedaulatan negara-negara jirannya serta pilihan rakyat Sabah untuk bebas merdeka bersama Malaysia melalui hasil pungutan suara oleh Suruhanjaya Cobbold pada 1 Ogos 1962 yang diiktiraf oleh negara-negara Komanwel.

Malaysia tidak akan sesekali berkompromi jika mana-mana pihak mahu memisahkan mana-mana wilayah negara ini dari Persekutuan. Jangan ulangi lagi tragedi Lahad Datu tahun 2013 apabila 235 orang militan yang kononnya mewakili Kesultanan Sulu dari Filipina telah menerima padah berhadapan dengan Angkatan Tentera Malaysia. Ingatlah peribahasa Melayu yang digunakan sebagai motto oleh skuadron ke-100 Angkatan Udara Diraja Britain ini:

“Sarang tebuan jangan dijolok”

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
17 September 2020 – HARAKAHDAILY 17/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -