Gambaran saya tentang PAS dahulu silap – Murali

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Dulu saya diberi gambaran bahawa PAS menentang hiburan terutamanya rancangan-rancangan di TV (televisyen). Gambaran ini membuat saya takut dengan PAS kerana saya ‘cari makan’ dengan TV,” demikian kata pengarah drama dan filem, Mohammed Murali Abdullah.

Murali, 57, berkata sangkaan itu berubah sama sekali apabila beliau berhijrah ke Terengganu.

- Advertisement -

Katanya, beliau mulai sedar bahawa sangkaannya terhadap PAS sebelum ini telah diracuni oleh beberapa pihak.

“Kebelakangan ini saya mulai sedar gambaran saya mengenai PAS telah diracuni oleh beberapa pihak yang takut dengan kebenaran.

“Kumpulan ini hanya mahu berkuasa di bumi sahaja dan perkataan akhirat itu hanya mainan di bibir mereka sahaja,” katanya seperti dipetik pada status Facebooknya semalam.

Murali sebelum ini menyertai Parti Amanah Negara (PAN) hadir dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) baru-baru ini mengambil kesempatan untuk menyerahkan sendiri borang keahlian kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam pengarahan drama dan filem kini mengambil keputusan untuk menetap di Marang, Terengganu dan akan memulakan semula pengarahan drama dan filem dalam masa terdekat dengan membuat dokumentari berkisarkan Tuan Guru Abdul Hadi.

Mengulas lanjut, Murali berkata penerimaan PAS terhadap beliau yang sedia maklum seorang pengarah filem membuktikan parti itu tidak anti filem dan televisyen.

“Saya diterima masuk (dalam) PAS oleh Dato’ Seri Haji Hadi Awang, walaupun PAS tahu pekerjaan saya, mereka terima saya sebagai saudara baru mereka.

“Ini jelas menunjukkan PAS bukanlah sebuah Parti Politik yang anti filem dan TV. Saya diberi galakkan untuk meneruskan kerjaya saya dengan mengikut garis panduan Islam. Sebelum ini pun memang saya serapkan garis panduan Islam ke dalam hampir semua drama-drama pengarahan saya. Sekarang saya ingin terus berkarya,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, PAS telah membuatkan dirinya lebih matang dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalam pada itu, beliau merancang untuk menerbitkan beberapa rancangan untuk drama dan filem yang mempunyai nilai-nilai Islam. – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -