Beza pakar dan mahir

- Advertisement -

JIKA kes yang nak terberanak songsang ke klinik, saya akan terus hantar si ibu itu ke Hospital. Adakah saya tidak pakar? Ya, saya Pakar Perubatan Keluarga, tetapi tidak mahir bab kelahiran yang agak risiko sebegini. Tambahan pula selepas buat ultrasound saya dapati ianya songsang kaki, tanpa berlengah saya akan telefon pihak hospital untuk terus standby bahawa kes ini akan dihantar sesegera mungkin. Kes sebegini wajib diuruskan pakar atau anggota yang mahir di hospital. Kata kunci adalah mahir. 

Masa belajar dahulu dan 5 tahun pertama karier sebagai doktor di hospital, saya memang mahir bab kelahiran berisiko seperti ini. Ini kerana suasana hospital dikelilingi oleh pakar-pakar sakit puan, kelengkapan yang mencukupi serta back-up yang terjamin. Saya tidak bimbang.

Jika kes biasa, tag putih risikonya adalah rendah, saya sanggup untuk handle bersama dengan anggota terlatih yang lain di klinik kesihatan. Kami pun memang wujud Alternatif Birthing Center (ABC). Kes-kes seperti ibu hamil kali ke-2 hingga 5, tiada penyakit kronik, kedudukan bayi betul dan semangat ibu tinggi, boleh sahaja kita sambut. Confident! Ramai saja ibu yang bersalin kat bilik ABC kami.

- Advertisement -

Pusat Bersalin Alternatif (ABC) ialah fasiliti KKM yang menyediakan kemudahan bersalin yang selamat untuk ibu kategori berisiko rendah di kawasan pendalaman atau jauh dari kemudahan hospital. Konsep asal penubuhan ini adalah sebagai pilihan tempat bersalin bagi ibu berisiko rendah tetapi mempunyai faktor sosial tertentu yang tidak membolehkan ibu bersalin di rumah atau hospital. Ia terletak di kawasan Klinik Kesihatan dan dikendalikan oleh kakitangan yang terlatih serta sokongan asas untuk menghadapi kecemasan sekiranya berlaku. Ia dilengkapi dengan bilik bersalin dan peralatan yang mencukupi. Kakitangan yang bertugas terdiri daripada Jururawat Kesihatan (dengan Sijil Kebidanan) atau Jururawat Masyarakat dibantu oleh Pegawai Perubatan dan Kesihatan dan Pakar Perubatan Keluarga.

Beberapa kriteria lain bagi ibu hamil yang ingin menggunakan khidmat ABC adalah:

(1) Gravida 2-5.

(2) Tiada masalah Obstetrik lalu yang mungkin berulang atau memberi kesan pada kandungan semasa.

(3) Tiada masalah perubatan yang lalu.

(4) Tiada masalah perubatan atau Obstetrik pada kandungan semasa.

(5) Ukuran tinggi lebih dari 145 sm.

(6) Ibu berumur lebih 18 tahun dan kurang 40 tahun. 

(7) Ibu berkahwin dan mempunyai sokongan keluarga. 

(8) Minggu kehamilan >37 minggu atau <41 minggu. 

(9) Anggaran berat bayi 2.5kg – 3.5kg.

Jika belaku juga komplikasi atau kematian, sekurang-kurangnya kita sudah berusaha sedaya mampu atas dasar ilmu yang dianugerahkan oleh Allah kepada anggota yang mahir. Bukannya menyerahkan urusan kelahiran anak kita kepada individu yang hanya pandai teori, tidak mahir malah tidak pernah pandai masuk IV drip pun kepada pesakit! Bukankah tawakal itu kita sudah berusaha dan ikhtiar semampu mungkin? Janganlah manipulasi istilah tawakal.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (DR SUHAZELI ABDULLAH UKM) – HARAKAHDAILY 17/9/2020

- Advertisement -