PRN Sabah: Sikap PAS terhadap gabungan sebelum ini

- Advertisement -

SAYA tertarik dengan satu kalimah perwakilan dari Perak sewaktu perbahasan ucapan dasar Muktamar PAS kali ke-66 , katanya “PAS telah berkawan dengan semua parti dan pernah melawan dengan semua parti” dan dibenarkan oleh Tuan Guru Mursyidul Am di waktu ucapan penangguhannya. Saya adalah generasi yang agak baru, yang mula membantu PAS ketika usia belasan tahun sekitar tahun 1983, sebagai buruh PAS, semua kerja buruh PAS saya buat, tampal poster, melukis malahan bila penceramah datang sayalah penulis poster.

Di usia rebung ini pastinya saya tidak punya berpengalaman untuk menceritakan mengenai gabungan PAS-Umno di zaman gabungan PAS dengan Parti Negara, begitu juga zaman gabungan Perikatan, namun sempat menempuh zaman PAS di dalam APU bersama Semangat 46, namun ketika itu saya hanyalah ‘tukang pacak bendera yang masih berkelek kitab’, sedang belajar maka sebarang kemelut di dalamnya tidak saya fahami secara mendalam, namun ketika gabungan PAS di dalam BA saya telah pun berada di dalam kepimpinan Pemuda di peringkat Kawasan dan Negeri Pahang juga terlibat sepenuhnya dalam organisasi pilihan raya peringkat kawasan.

- Advertisement -

PRU10 saya sebagai Ketua Pemuda Kawasan Paya Besar dan Pengarah Pilihan Raya DUN Lepar, pilihan raya yang penuh adegan syahdu, pilihan raya yang basah dengan air mata di pembukaan cerita. Setelah kami bersiap untuk bertanding, berlaku pula gabungan PAS dalam BA, di saat-saat terakhir ketika pelamin telah pun dihias, kad jemputan telah diedarkan. Tiba-tiba diputuskan DAP pula yang bertanding di situ. Begitu juga di Parlimen Kuantan, ketika jentera-jentera PAS telah pun bersiap termasuk menempah poster untuk Allahyarham Ust Baharin Mohamad bertanding tiba-tiba dia diminta menarik diri untuk bagi laluan kepada Keadilan untuk bertanding.

Lebih syahdu bila malam pengisytiharan calon dibuat di Markaz kami sendiri, kami siapkan semuanya, seharian peluh mencurah siapkan pentas dan segalanya untuk raikan calon DAP yang bertanding, berbagai episod kesedihan dan kesukaran, tapi kami hadapi dengan penuh kesabaran dan tanggungjawab demi wala’ dan taat kami kepada pimpinan. Saya sebagai pengarah DUN Lepar lebih sibuk dari calon DAP kerana dia bukan orang tempatan dan tidak pernah dikenali apatah lagi DAP tidak ada satu Cawangan pun di situ, maka semua jadualnya terletak pada saya, maaf saya katakan tidak ada seorang pun jentera DAP membantu, semuanya kami dan kami.

Lebih menyedihkan lagi bila Parlimen juga tidak ditandingi PAS, ertinya ahli PAS DUN Lepar kena buat kerja untuk orang, saya melihat sendiri seorang amilin yang taat. Ketika dia sedang memasukkan poster DAP ke dalam plastik air matanya jatuh, saya faham kesedihannya. Modal saya ketika itu, “Walaupun yang kita tampal ini adalah poster DAP dan Keadilan tapi hakikat sebenarnya kita seperti menampal poster PAS, kerana kita tidak mungkin akan buat semua ini melainkan kerana arahan dari pimpinan PAS”, walaupun sedih mereka tetap buat, itulah ahli PAS.

Saya diarahkan pimpinan supaya meredakan kesedihan ahli-ahli sedangkan saya sendiri pun dilanda kesedihan juga. Susah itu, orang sakit nak mengubat orang sakit. Tapi ahli PAS memang ajaib, bila hatinya digosok dengan peringatan kalimah mengenai kawajipan taat dan wala’ pada pimpinan, bagaikan menggosok lampu ajaib, segera muncul dan menjelma keyakinan yang menolong memberikan kekuatan hati dan jiwa. Bersambung esok.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

Catatan pengalaman 

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR – HARAKAHDAILY 16/9/2020

- Advertisement -