Mengenang Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din

Empat tahun pemergian bekas Mursyidul Am PAS

- Advertisement -

PANTAS masa berlari meninggalkan kita, tak berpaling seperti pelumba kelas kakap mengejar garisan penamat, memecut dan terus menghalilintar untuk mengecap nikmat kemenangan.

Hari Sabtu lepas, semasa berucap di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Tuan Guru Haji Hadi sebak apabila mengingat kembali momen bersama almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan almarhum Dr Haron Din di PUTIK.

- Advertisement -

Almarhum Dr Haron Din mantan Mursyidul Am PAS yang ketiga, sosok yang luarannya kelihatan lembut dan tenang namun tegas memegang prinsip.

Saat golongan intelektual selesa dengan kehidupan mereka dalam dekad 1970-an, beliau telah pun menjadi Ahli Jawatankuasa kerja PAS Pusat. Maestro dakwah ini membangunkan jamaah semenjak zaman mudanya, walaupun menjadi tenaga pensyarah di kampus Bangi yang saat itu masih berhutan tebal. Beliau membangunkan jamaah saat, sebahagian besar kelompok kelas menengah masih meragui keupayaan Parti Islam mengurus dan mentadbir negara.

Tokoh sarjana muslim ini bukan sahaja mencanai intelektualnya dengan puluhan buku dan ratusan kertas kerja di menara gading, namun menyumbang kepakarannya untuk masyarakat umum negara ini. Namanya mengharum dalam perubatan Islam, bukan sekadar beliau mengubati masyarakat yang sakit daripada sudut akidah tetapi melahirkan jumlah yang besar pengamal perubatan Islam dengan tertubuhnya Darul Shifa’ di Bangi. Darul Shifa’ juga mempunyai jaringannya di seluruh negara, berbakti pada masyarakat.

Minat murabbi ini kepada pendidikan Islam tak mampu diremehkan, kerana usaha jihad ta’lim telah berakar dalam jiwanya. Beliau menjadi banyak penasihat kepada institusi pendidikan dan dakwah, antaranya Pusat Dakwah Serantau yang banyak melahirkan para daie dan menebarkan dakwah di kawasan pedalaman. Tuan Guru juga dalam keadaan uzur, masih lagi berulang ke Perlis, negeri kelahirannya untuk menyampaikan kuliah, antaranya di MATIN. Jiwanya segar apabila menyampaikan ilmu kerana itulah cinta dan citranya dalam kehidupan. Memberikan ilmu seolah terapi baginya dan tak banyak memberi alasan bila diajak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Jika beliau tak hadir dalam majlis ilmu yang dirancangkan, bermakna beliau sakit yang tenat atau dalam pemerhatian doktor.

Dr Haron Din antara tokoh PAS yang dibenci oleh kelompok politikus liberal pragmatis kerana ketegasan beliau mempertahankan prinsip perjuangan Islam. Beliau dicaci dan dinista, namun ini tidak menjadi kudis buta kepada semangat beliau untuk membahterai perjuangan Islam ini. Sebagai Mursyidul Am, beliau mengambil tindakan bersama Majlis Syura dalam menentukan PAS tidak menjadi perkakas politik kepada musuh Islam untuk memanipulasi kekuatan jentera PAS. Memutuskan hubungan dengan rakan permuafakatan politik yang tidak menghormati prinsip Islam mungkin pahit kepada pemimpi Putrajaya, namun itulah rakaman sejarah yang berlaku semasa Dr Haron Din memimpin Majlis Syura Ulamak.

Sikap pemurah beliau diketahui umum, membantu pembinaan kompleks tarbiah, sekolah agama, masjid serta pelbagai institusi Islam di negara ini. Masyarakat umum menghormatinya melepasi garisan sempadan politik kepartian, beliau dianggap milik umat Islam. Kitab tulisannya bertebaran dan digunakan sebagai teks pengajian, termasuk oleh PDRM.

Penulis teringatkan sosok maestro dakwah ini dalam mengobarkan api semangat, beliau hadir ke daerah Besut dalam bulan Mac 2016 untuk merasmikan kompleks Dakwah Malaysia (KODIM) yang diusahakan oleh Ustaz Dato’ Nik Zawawi. Murabbi ini berucap lebih sejam di atas mimbar masjid, guratan wajahnya gembira serta energinya kelihatan seperti masih muda. Beliau juga merasmikan majlis pecah tanah kompleks Pendidikan an Nur Besut yang penulis usahakan, dalam keadaan agak penat beliau tidak menghampakan. Mendoakan supaya diberkati segala usaha mengajak manusia untuk hidup bertuhan serta dimudahkan segala gerak kerja membina mercu tanda pendidikan di daerah agrarian itu.

Hari ini kita telah empat tahun kehilangan murabbi ummah dengan segunung kebaktian di medan amal Islami. Negara kita bersedih kerana almarhum adalah milik semua orang, menyantuni orang susah, merawat yang sakit, mencerdaskan akal umat. Terbayang senyuman manis dan doanya yang lirih serta taujihatnya yang menunjal-nunjal lubuk hati dan akal kita. Bersemadilah wahai sang murabbi, kami semua menjadi saksi akan kebaktianmu, kebaikanmu, juga dedikasimu di jalan juang ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI ) – HARAKAHDAILY 16/9/2020

- Advertisement -