Hebatnya Muslimat PAS

- Advertisement -

SELEPAS perasmian Ijtimak Pilihan Raya PAS Tambun bergambar dengan pimpinan Muslimat PAS Kawasan. Sebenarnya tonggak gerak kerja pilihan raya adalah Muslimat. Merekalah yang bertungkus lumus menjayakan setiap kali pilihan raya.

Saya memang hormat dengan kerja buat Muslimat dalam pilihan raya. Allah S.W.T jadikan Muslimat insan yang taat kepada arahan. Tidak pandai membantah. Buat kerja ikut buku. Tidak ada masa untuk membuang masa dan bergebang sampai penuh cawan dan biskut atas meja di markaz.

- Advertisement -

Mereka gunakan betul-betul masa yang ada, kerana mereka juga perlu uruskan makan minum suami dan anak-anak sepanjang mereka bertugas. Mereka manfaatkan betul-betul masa yang ada.

Pilihan raya menjadi hambar tanpa penglibatan muslimat. Kerja pilihan raya memerlukan ketekunan dan kesungguhan. Muslimatlah yang naik turun ke rumah untuk merayu undi tanpa kira hujan atau panas.

Muslimat kerjanya mahu teratur seperti susunan pinggan mangkuk di rumah dan susunan lipatan kain di dalam almari. Kadang-kadang mungkin ada pertembungan dengan Muslimin yang kerja tidak sekemas mereka, kalau Muslimat tegur dan komen, terimalah hakikat inilah kita Muslimin.

Muslimat tidak minta apa-apa daripada parti, mereka hanya minta dihargai sahaja. Hati Muslimat senipis kulit bawang tetapi memiliki semangat yang tebal, kadang-kadang mengalahkan  Muslimin. 

Saya menulis sebagai seorang suami yang memiliki isteri yang terlibat bersama jentera Muslimat. Inilah pemerhatian saya mengenai Muslimat PAS.

HJ IDRIS HJ AHMAD  – HARAKAHDAILY 16/9/2020

- Advertisement -