DHPP Pulau Pinang membantu tanpa mengira kaum

- Advertisement -

BAYAN LEPAS: Kewujudan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) bukan bersifat perkauman atau memisahkan perbezaan bangsa dalam satu kelompok yang khas, sebaliknya punya peranan besar terhadap perpaduan masyarakat majmuk.

- Advertisement -

DHPP hakikatnya menjadi wadah dan penghubung terutama dengan penganut bukan-Islam dalam meluaskan agenda keharmonian dan kesejahteraan hidup diperjuangkan PAS kepada seluruh rakyat Malaysia.

Malah, membuktikan sayap PAS itu bukan semata-mata penggerak politik, DHPP Negeri Pulau Pinang dalam gerak kerja kebajikannya tidak hanya berfokus kepada membantu penduduk dari kaum bukan-Islam sahaja.

Menyemarakkan semangat kebersamaan sebagai rakyat negara ini, DHPP Pulau Pinang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia telah mengadakan ziarah kebajikan yang turut menyampaikan sumbangan kepada pesakit Melayu.

Ady Faiz Anggriawan Khoirun yang terlantar separuh sedar telah mendapat perhatian DHPP Pulau Pinang menerusi sumbangan keperluan asas akibat sakit dideritainya dalam kunjungan di Sungai Ara, di sini baru-baru ini.

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi DHPP Pulau Pinang, K Jayaraman dan Steven Koh telah menziarahi keluarga tersebut dan menyerahkan sumbangan berupa susu formula khas dan lampin pakai buang.

Mereka turut melawat warga emas dan anaknya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan menyampaikan sumbangan kerusi roda dengan harapan memudahkan pergerakannya di dalam rumah.

DHPP Pulau Pinang turut melaksanakan rutin kegiatannya memberikan makanan terutama kepada gelandangan di negeri itu dengan turun menyantuni golongan berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/9/2020

- Advertisement -