ARC santuni jasawan PAS sempena Hari Malaysia

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Alternative Riding Club (ARC) Kawasan Bukit Gantang menganjurkan program Menelusuri Jejak Pejuang sempena Hari Malaysia dengan menziarahi bekas kepimpinan dan aktivis PAS Bukit Gantang.

- Advertisement -

Kira-kira 20 ahli ARC menyertai program yang diadakan sekitar DUN Sepetang dan Changkat Jering di mana seramai enam jasawan PAS sempat disantuni di dua DUN tersebut hari ini.

Menurut Ketua ARC Bukit Gantang, Roslan Talib, program julung-julung kali ini diadakan bagi meraikan pejuang-pejuang PAS yang amat berjasa suatu ketika dahulu tetapi kini tidak dapat lagi aktif kerana faktor usia dan kesihatan tidak mengizinkan.

“Mereka berkongsi pengalaman ketika aktif dalam gerakerja jemaah sambil menitipkan pesanan agar anak-anak muda PAS ikhlas dalam perjuangan serta tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan parti.

“Selepas ini, ARC berhasrat menganjurkan program seumpama ini di peringkat DUN Trong dan program jelajah luar dari negeri Perak selain berharap lebih ramai pemuda-pemuda di kawasan ini menyertai kelab ini,” katanya.

Dalam pada itu, mantan guru PASTI Kampung Larut Tin, Zamrah Ibos, 61, melahirkan rasa terharu dengan kunjungan ARC ke rumahnya dan berharap terus aktif dalam kerja-kerja kebajikan serta mempelbagaikan aktiviti bagi menarik anak-anak muda bersama PAS.

“Saya kini sukar bergerak dan kesihatan pula tidak menentu. Doakan saya kembali sihat kerana sangat rindu untuk hadir ke program-program parti dan bertemu dengan sahabat-sahabat lama,” katanya dengan nada sebak.

Mantan Bendahari PAS Cawangan Matang Road, Zulkifli Zainal Abidin,60 gembira menyambut kehadiran anggota-anggota ARC sambil berkongsi pengalaman ketika menghadiri himpunan-himpunan besar di Kuala Lumpur.

“Kami berkongsi kenderaan untuk hadir ke program-program ceramah dan sering menyertai himpunan-himpunan besar di Ibu Kota. Kini segalanya tinggal kenangan.

“Saya berharap anak-anak muda dalam PAS memanfaatkan usia yang berharga ini bukan sahaja melazimi diri dengan aktiviti-aktiviti kepemudaan tetapi terlibat secara langsung dengan program-program tarbiah dan ilmiah yang dianjurkan oleh parti,” tambahnya.

Dalam program ini, ARC menyampaikan sijil penghargaan, sumbangan wang tunai dan barangan kepada para jasawan PAS.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman dan Ketua Pemuda PAS Bukit Gantang, Zu Hazmin Badri. – HARAKAHDAILY 16/9/2020

- Advertisement -