Persatuan Hindu Sangam kunjungi Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Persatuan Malaysia Hindu Sangam mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam usaha menjalinkan hubungan baik dengan PAS.

Menurut presiden persatuan itu, Dato’ RS Mohan Shan, tujuan kunjungan mereka untuk mewujudkan satu persefahaman yang baik dan dapat mengenali PAS dengan lebih jelas.

Advertisement

“Sebelum ini kami berasa takut dengan (pendekatan) PAS yang dilihat hanya memperjuangkan Islam dan Melayu.

“Jadi, dengan perjumpaan ini kami harap dapat diberikan keterangan lebih mendalam tentang dasar PAS supaya kami memahami dan mungkin boleh bekerjasama pada masa akan datang,” katanya ketika majlis kunjung hormat ke pejabat Presiden PAS, di Pejabat Agung PAS, di sini petang tadi.

Jelas Mohan, pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan siapa sahaja dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

Beliau turut berbesar hati di atas kesudian Presiden PAS menerima kunjungannya bersama delegasi dalam usaha untuk membina persefahaman.

Sementara itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut meluahkan rasa gembira dan menyifatkan perjumpaan berkenaan satu usaha yang baik untuk perpaduan.

Katanya, sebagai sebuah negara yang bermasyarakat majmuk perlunya hubungan yang baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan kaum.

“Semestinya ada persamaan dan perbezaan. Namun, perkukuhkan persamaan dan bertolak ansur dalam perbezaan,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, dalam Islam tiada paksaan untuk beragama, hal ini dijelaskan di dalam al-Quran yang melarang memaksa seseorang untuk memeluk Islam.

Tambah Tuan Guru Abdul Hadi lagi, orang bukan Islam tidak perlu takut kepada PAS yang membawa dasar Islam.

Jelas terbukti, apabila PAS memerintah negeri Kelantan dan Terengganu, masyarakat bukan Islam dapat hidup harmoni dalam kampung Melayu. – HARAKAHDAILY 15/9/2020