Perang dengan musuh tidak ‘kelihatan’

KUALA KEDAH: Langkah segera kerajaan negeri dengan menjadikan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Kota Setar sebagai tempat pengurusan bantuan cuba dipertikaikan oleh golongan tertentu.

Advertisement

YDP Kawasan Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dalam kenyataannya berkata, golongan itu cuba  menconteng arang ke muka kerajaan negeri dan para pegawainya, sedangkan pihak kerajaan telah pun bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua sedar bahawa ketika ini kita berperang dengan sejenis musuh yang tidak kelihatan pada mata kasar dan tidak dapat dihidu dengan deria bau. Ia tidak mengenal pangkat, darjat dan warna kulit,” ujar beliau.

Semalam, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataannya memaklumkan hanya petugas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sahaja yang dibenarkan menyampai sumbangan kepada mereka yang terjejas di 28 mukim daerah Kota Setar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 September lalu.

“Tindakan itu adalah sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dan mengelak dari berlakunya aktiviti keluar masuk di kawasan terbabit selain yang dibenarkan sahaja,” tambah beliau.

Menurut Ahmad Fakhruddin lagi, tindakan pantas kerajaan negeri  telah memberi kelegaan kepada penduduk yang terlibat.

“Oleh itu PAS Kawasan Kuala Kedah  akan mengambil maklum dan berusaha menyampaikan informasi berkenaan ke peringkat  akar umbi,” jelasnya berikutan kawasan terbabit antara yang terlibat dengan perlaksanaan PKPD berkenaan.

Menteri Besar juga telah memaklumkan sejumlah RM1,000,000 diperuntukkan untuk membantu mereka yang terjejas dan terputus bekalan akibat perlaksanaan PKPD kepada 366,787 penduduk di 28 mukim, daerah Kota Setar.

Daerah Kota Setar dikenakan perintah kawalan berkenaan bermula 11 hingga 25 September berikutan penularan wabak Covid-19 yang agak membimbangkan berpunca dari Kluster Telaga dan Kluster Sungai. – HARAKAHDAILY 15/9/2020