Malaysia sedang mengkaji virus SAR-Cov-2

Ahmad Amzad ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 (2020) di Dewan Negara, semalam.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Negara diberitahu bahawa Malaysia sedang mengkaji maklumat genetik virus SAR-CoV-2 melalui penjujukan genom bagi kes Covid-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, kandungan maklumat genom diperlukan bagi memahami epidemiologi tempatan sebelum kajian ke atas penghasilan vaksin dapat dijalankan.

- Advertisement -

Menurutnya, berkemungkinan virus SARS-CoV-2 yang menyerang warga Malaysia hari ini berbeza dengan ‘serangan’ di negara lain.

“Sehingga kini, Malaysia telah menjujuk lebih daripada 100 genom virus SARS-CoV-2 yang dipencilkan daripada kes-kes Covid-19 di Malaysia dan data telah didepositkan ke pangkalan data GISAID yang boleh diakses melalui laman sesawang www.gisaid.org.

“Kajian berkemungkinan berlaku mutasi ke atas genom virus SARS-CoV-2 sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 (2020) di Dewan Negara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) 14 September 2020, semalam.

Sebelum itu, kata Ahmad Amzad, Senator Dato’ Paul Igai yang telah membangkitkan pertanyaan berhubung tindakan Kementerian dalam pencarian vaksin Covid-19.

Menurut Timbalan Menteri itu, vaksin merupakan antara sumbangan terbesar perubatan moden kepada manusia, memberikan intervensi yang efektif dan mengawal penyakit yang boleh menyebabkan kematian.

“Walaupun demikian, penyakit berjangkit masih boleh membunuh jutaan orang setiap tahun.

“Pembangunan dan penghasilan vaksin merupakan proses yang rumit dan mengambil masa yang lama.

“Pembangunan vaksin manusia daripada konsep sehingga perlesenan kebiasaannya mengambil masa sehingga 15 tahun,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, pendekatan Malaysia iaitu usahasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN).

“Melalui diplomasi sains adalah dengan berkolaborasi dengan negara-negara lain dalam menjalankan penyelidikan bersama dengan pusat-pusat vaksin antarabangsa.

“Ianya untuk memudah, mempercepat pemerolehan pengetahuan teknologi vaksin, latihan sumber manusia dan pengembangan kepakaran spesifik,” ujarnya.

Selain itu, kata Ahmad Amzad, pihak MOSTI turut giat menyelaras kerjasama antara institusi penyelidikan dalam pengenalpastian calon vaksin Covid-19.

“Tindakan susulan selepas calon vaksin Covid-19 itu dikenal pasti, adalah untuk pengeluaran vaksin dalam negara.

“Menerusi model perniagaan secara perkongsian awam-persendirian atau Public Private Partnership (PPP) seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Sains Negara Bilangan 2 Tahun 2020 pada 14 Julai 2020 lalu,” jelasnya.

Menurutnya, hasil daripada input ini akan digunakan untuk menentukan ketersediaan pelaksanaan fill and finish dan kapasiti bagi calon vaksin Covid-19.

Walau bagaimanapun, kata beliau, pemerolehan vaksin sama ada dengan pelaksanaan fill and finish atau pembelian, bergantung kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) iaitu entiti yang akan memutuskan jenis vaksin. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -