Lesen CSA jamin bekalan domestik stabil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lesen barangan kawalan berjadual (CSA) yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia bertujuan untuk menjamin bekalan domestik yang stabil dan sebagai mekanisme pemantauan serta pengumpulan data barang kawalan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Rosol Wahid berkata, di bawah Seksyen 7, Akta Kawalan Bekalan 1961, urusniaga barang-barang kawalan berjadual memerlukan Lesen CSA yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia iaitu Ketua Setiausaha KPDNHEP

- Advertisement -

Menurut beliau, bagi tahun 2020, lesen borong CSA di negeri Perlis yang masih aktif bagi produk tepung gandum sebanyak sepuluh manakala gula sebanyak tujuh.

Selain itu, bagi bilangan gas petroleum cecair (LPG) adalah sebanyak lima dan minyak masak adalah sebanyak 12 lesen borong CSA.

Rosol berkata demikian pada sidang Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Senator Kamarudin Abdun yang meminta kementerian KPDNHEP untuk menyatakan mengenai jumlah lesen pengedar tepung, gula, gas dan minyak masak yang telah dikeluarkan oleh kementerian itu dan berapa banyak lesen yang telah dibatalkan terutamanya di negeri Perlis.

Sehubungan itu katanya, sehingga kini tiada sebarang lesen CSA bagi syarikat di negeri Perlis yang dibatalkan atas tindakan kes.

Bagaimanapun, katanya kementerian sentiasa menjalankan penguatkuasaan dan pemeriksaan dari masa ke semasa bagi memastikan pemain industri mematuhi peraturan yang telah ditetapkan serta bekalan barang kawalan berjadual stabil dalam pasaran. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -