KASA tingkat usaha kekang pencemaran sungai

Foto Facebook Kementerian Alam Sekitar dan Air
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus melipat gandakan tindakan melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) kepada semua kilang-kilang dikenal pasti berisiko menyumbang kepada pencemaran air sungai.

Timbalan Menteri KASA, Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, JAS turut menjalankan penguatkuasaan di lapangan secara berkala ke atas kilang-kilang bagi memastikan mereka mematuhi AKAS 1974 yang ditetapkan sepenuhnya.

- Advertisement -

Demikian katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini, bagi menjawab pertanyaan Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan yang meminta pihak kementerian menyatakan mengenai penguatkuasaan terhadap kilang-kilang yang beroperasi bagi mengelakkan pencemaran terhadap air sungai seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Beliau berkata, berdasarkan kepada rekod JAS, terdapat 57,396 kilang yang menjalankan pelbagai jenis aktiviti perindustrian beroperasi di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut katanya, terdapat sebanyak 3,480 kilang yang menghasilkan efluen perindustrian.

Katanya, pada tahun 2020, JAS juga telah mengambil inisiatif berimpak tinggi dengan melaksanakan Ops Gempur, iaitu operasi ke atas kilang secara besar-besaran dengan kerjasama dari pelbagai agensi.

“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Ogos 2020, JAS telah menjalankan 66 operasi di seluruh negara yang melibatkan pemeriksaan ke atas 2,398 kilang dari pelbagai jenis industri.

“Sebanyak 2,819 tindakan penguatkuasaan di bawah AKAS 1974 telah diambil ke atas pihak-pihak yang didapati tidak mematuhi undang-undang tersebut termasuk kesalahan berkaitan pencemaran air,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebelum ini Menteri KASA telah mengumumkan satu pasukan Petugas Khas Cegah Jenayah Alam Sekitar yang melibatkan kerjasama antara unit penguatkuasa JAS, SPAN, JBK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka akan dapat beroperasi pada awal Oktober. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -