Jenayah atau maksiat alam sekitar, yang mana satu?

- Advertisement -

APABILA disebut ‘jenayah’ maka kita sering terbayang ‘membunuh’ dan ‘merompak’. Apabila disebut ‘maksiat’, maka terbayang pula ‘tangkap basah’ dan ‘minum arak’. Sangat jarang jenayah dikaitkan dengan alam sekitar. Apatah lagi nak sebut ‘maksiat alam sekitar’. Seolah-olah wujud dualiti; jenayah untuk ‘kesalahan awam’ (public sin), maksiat pula adalah ‘dosa peribadi’ (private sin).

Jika dirujuk kamus DBP, definasi jenayah adalah: ‘perbuatan~kejahatan (seperti mencuri, merompak dan membunuh dan lain-lain) yang salah di sisi undang-undang, perbuatan salah’. Ertinya, apa sahaja yang menjadi kesalahan di sisi undang-undang (Sivil) adalah jenayah. Disebabkan jenayah adalah kejahatan, maka pelakunya ialah orang jahat (penjahat atau penjenayah).

Kamus DBP juga tidak guna ‘mencemarkan alam’ sebagai salah satu contoh jenayah sebab dah terbiasa jenayah = bunuh, rompak. Namun, disebabkan ada peruntukan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, maka pencemaran alam sekitar umumnya adalah satu jenayah. 

- Advertisement -

Ertinya, aktiviti membuang sisa najis babi ke dalam sungai telah ‘dilihat’ sebagai jenayah kerana ‘melanggar’ undang-undang.

Soalnya, adakah ia menjadi jenayah alam sekitar mengikut teknikal perundangan? Jika ya, adakah ada peruntukan khusus di bawah AKAS 1974? Mungkin ada yang merujuk Seksyen 25 AKAS 1974 (rujuk gambar). 

Namun, AKAS 1974 hanya terhad kepada industri seperti Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:

‘8. Pertukangan, Perdagangan dan Perindustrian’. 

Sebarang ‘pencemaran’ (seperti tafsiran bawah Seksyen 2 AKAS 1974) hanya terikat kepada aktiviti perindustrian dan standard pencemar yang terangkum dalam akta sahaja. 

Ertinya jika industri jenis A (i.e. kilang kelapa sawit) terangkum dalam akta, sebarang aktiviti pelepasan sisa pencemar tidak boleh melebihi kadar standard yang dibenarkan. 

Jika ukuran pencemaran didapati melebihi standard, maka kesalahan (baca: jenayah alam sekitar) telah berlaku. 

Contohnya, jika pencemar X dilepaskan kilang sarung tangan sebanyak 151 ppm ke sungai, dan standard nyatakan tak boleh melebihi 50 ppm, maka jenayah alam sekitar telah berlaku. 

Akan tetapi, aktiviti Penternakan Haiwan (Komersial) merupakan industri yang tidak terangkum dalam AKAS 1974. Apabila tidak terangkum dalam akta, maka tidak adalah standard. Apabila tak ada standard, maka tidak adalah kayu ukur untuk membuktikan jenayah alam sekitar telah berlaku. (Walaupun sungai itu sah-sah penuh tahi babi) 

Kerana itu, JAS di bawah KASA tidak dapat mengambil tindakan undang-undang ke atas pencemaran sisa najis babi ke dalam Sungai Kreh, kerana ia di luar bidang kuasa. Jika pencemaran oleh industri seperti kilang pencetakan kertas atau industri seumpamanya, barulah JAS boleh buat penguatkuasaan. 

Fahami bahawa perternakan haiwan adalah di bawah Senarai Bersama dalam Perlembagaan. Oleh kerana itu, sebahagian besar hal industri penternakan haiwan, termasuk sisa kumbahan ternakan berada di bawah kuasa negeri. (Iaitu Jabatan Perkhidmatan Vaterinar dan Pihak Berkuasa Tempatan) 

Jika di Kedah, ada Enakmen Perladangan Unggas 2005. Pulau Pinang pula ada Enakmen Penternakan Babi 2016. Oleh sebab ia di bawah enakmen negeri, JAS sebagai agensi Persekutuan hanya boleh menyarankan kepada Kerajaan Negeri (PBT) untuk menghentikan sementara aktiviti penternakan yang mencemarkan. Selebihnya, terpulang kepada kerajaan negeri. (Seolah JAKIM atau JAWI tak boleh mai serbu hotel tak tentu hala kat Pulau Pinang)

Istilah jenayah alam sekitar ini bukan sahaja kurang berakar dalam kefahaman masyarakat, bahkan skop perundangan juga terbatas. Ada ‘pencemaran’  yang terperangkap dalam ‘grey-area’ menjadikan ia sukar dijadikan ‘jenayah’ secara perundangan. Bagaimana dengan maksiat alam sekitar? 

Merujuk kamus DBP, definasi maksiat adalah:

‘Perbuatan yang melanggar perintah Allah perbuatan yang berdosa (yang keji)…’ (Hampir sama dengan takrif dalam Bahasa Arab) 

Oleh itu, sama ada wujud peruntukan atau standard dalam akta atau enakmen atau tidak, aktiviti pencemaran alam sekitar tetap merupakan satu maksiat! Ertinya ia adalah perbuatan dosa! Tak percaya ada dosa pahala? Maka buang saja Kepercayaan Kepada Tuhan dalam Rukun Negara. 

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Kita mengucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar Dan Air kerana berjaya menubuhkan Unit Pencegahan Jenayah Alam Sekitar baru ini. Kita mendoakan ia menjadi titik mula bersama semua agensi lain untuk mendidik masyarakat melihat bahawa:

‘Membuang sekecil putik kapas ke tepi jalan di Kubang Menerong atau mencurah acrylonitrile (sisa berjadual) ke dalam Sungai Kim-kim’ bukan sahaja satu jenayah, bahkan satu maksiat yang membawa dosa.’

Di samping itu, KASA juga harus segera menutup ‘grey-area’ dalam perundangan berkaitan aktiviti perindustrian yang mencemarkan supaya ia menjadi kesalahan jenayah alam sekitar yang boleh dihukum. 

Antaranya menggesa Kementerian Pertanian untuk membentangkan RUU Kawalan Pelepasan Sisa Industri Penternakan Komersial supaya menjadi payung hukum (akta) untuk diadaptasi menjadi enakmen di negeri-negeri.

“Rasuah juga satu maksiat” 

M. A. ZABIDI AT-TIROMI 
15 September 2020 – HARAKAHDAILY 15/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -