Elak salam ketika berkempen – PM

Pengundi pasti faham

PRN Sabah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktiviti berkempen bagi meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diharapkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mengamalkan budaya normal baharu susulan penyebaran wabak jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khasnya, menasihati supaya rakyat Sabah dan mana-mana rakyat Malaysia yang kini berada di negeri itu dapat mematuhi SOP dengan penuh disipilin.

Beliau turut mengingatkan petugas-petugas pilihan raya menjalankan aktiviti berkempen mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

- Advertisement -

“Dalam keadaan biasa, semasa musim pilihan raya ini ramai yang akan berkumpul dan bersalaman. Nasihat saya , elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit.

“Elakkan bersalaman dengan pengundi. Saya fikir, para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman. 

“Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain, supaya tidak terkena jangkitan Covid-19 ini, kita jaga kita bah,” ujarnya dalam dialek negeri di bawah bayu itu.

Sementara itu, mengulas berhubung pembukaan pintu sempadan negara, kata Ahli Parlimen Pagoh itu, sempadan negara masih ditutup sehingga hari ini kecuali melibatkan hal-hal tertentu seperti urusan perniagaan, pelaburan dan pendidikan berserta syarat-syarat pematuhan SOP yang ketat.

Katanya, kerajaan tidak akan terburu-buru untuk membuka sempadan negara dan kawalan akan terus diperketatkan termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, Situasi Semasa Covid-19 melalui siaran langsung di kaca televisyen, sebentar tadi.

Petang tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan sebanyak 23 kes baharu dengan penemuan satu lagi kluster iaitu Kluster Pulau.

Kluster Pulau adalah kluster Sabah ketiga yang dilaporkan sejak 1 September, apabila kluster Benteng LD pertama kali dilaporkan. – HARAKAHDAILY 15/9/2020

- Advertisement -