ATM berkembang selaras perubahan zaman

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab yang dipegang adalah besar iaitu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman luar, bermula dengan Perang Dunia Kedua menentang Jepun sehinggalah ancaman Komunis ketika negara menghadapi darurat.

Kini setelah 87 tahun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan pada 1 Mac 1933, fungsi dan tanggungjawab yang dipikul berkembang selaras dengan perubahan zaman.

Merupakan benteng pertahanan negara, ATM yang mempunyai tiga cabang – Tentera Darat, Laut dan Udara itu sentiasa terlibat dalam pelbagai operasi sama ada di dalam atau luar negara dengan misi tetap sama iaitu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Advertisement

Menyambut ulang tahun yang ke-87, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menggariskan empat teras utama sebagai panduan dalam meningkatkan imej pasukan iaitu memperkasakan kesiapsiagaan aset; memperkasakan warga ATM yang cemerlang; mengukuhkan keupayaan ATM dalam Domain Siber; dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

Kertas Putih Pertahanan yang menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah, akan terus menjadi panduan utama dalam membuat perancangan serta pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
 
“Domain maritim dan udara bakal diberi tumpuan khusus dalam Kertas Putih Pertahanan bagi pembangunan keupayaan ATM, pembangunan keupayaan kedua-dua domain ini akan mengambil masa yang panjang berdasarkan tempoh pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dari tahun 2021 hingga 2030,” kata Affendi dalam wawancara khas di Wisma Pertahanan, di sini, sempena Hari ATM ke-87 yang disambut 16 September setiap tahun.

Affendi berkata demi menentukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat digalas dengan berkesan, amat penting bagi ATM mempunyai tahap kesiagaan aset bersesuaian dan fokus perlu diberi untuk memastikan aset-aset sedia ada berada pada tahap kesiagaan yang tertinggi dalam mendepani sebarang kemungkinan.

“ATM memerlukan aset yang sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi agar keupayaan ATM dapat dipamerkan setiap masa, di samping menonjolkan keupayaan ini sama ada semasa latihan, kesiagaan bertindak mahu pun keupayaan mobilisasi,” katanya.

Mengambil contoh Op Benteng di bawah Pasukan Bertindak Kebangsaan (NTF) yang dilaksanakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Affendi berkata cabaran utama operasi bagi memperkasakan kawalan sempadan negara itu sememangnya memerlukan ATM menambah aset bagi menangani kemasukan migran dan aktiviti penyeludupan.

“Pengesanan dan buat rondaan dalam Op Benteng ini tidak memerlukan aset yang besar tetapi lebih kepada kelengkapan seperti bot pemintas, kereta pacuan empat roda dan motosikal scrambler.
 
“Ini kerana migran dan penyeludup ini tidak akan mendarat di kawasan jeti besar tetapi memilih kawasan yang terpencil,” katanya sambil menambah penggunaan dron turut banyak membantu dalam hal ini, ditambah dengan tindakan licik migran yang sentiasa mengubah modus operandi untuk memasuki negara ini.

Beliau berkata strategi penyeludupan masuk migran ini kadang-kala sukar dibaca kerana mereka sentiasa mengubah modus operandi untuk menyeludup masuk dan itu antara cabaran dihadapi ATM dalam usaha menjaga sempadan negara yang panjang serta perairan luas.

“Inilah kesukaran yang terpaksa dihadapi termasuk idea perubahan modus operandi yang turut melibatkan rakyat tempatan yang menjadi tekong atau pengkhianat negara namun pihak NTF berjaya mengatasinya,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini operasi memburu tekong dan tali barut giat dilakukan dan turut membuahkan hasil dengan beberapa siri tangkapan terhadap mereka yang bersekongkol terutama dengan sindiket penyeludupan. 

Op Benteng yang diaktifkan sejak Mei 2020 adalah untuk mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi migran dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19. 

Affendi berkata pelaksanaan Op Benteng meliputi enam kaedah iaitu pencegahan, langkah pengesanan, tindakan penghindaran, tindakan pelencongan, pengurusan penahanan serta inisiatif pengusiran. – BERNAMA