UCJAS kerjasama strategik KASA dan KDN

- Advertisement -

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) amat memandang serius berhubung kejadian pencemaran yang semakin berleluasa di Malaysia dan isu ini perlu ditangani secara holistik dan proaktif. Insiden terkini di Sungai Gong, Selangor baru-baru ini telah memberikan impak yang besar kepada kelestarian alam sekitar, ekonomi negara serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Di peringkat global pula, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), jenayah alam sekitar merupakan jenayah terancang keempat terbesar selepas dadah, penggubahan wang haram, dan pemerdagangan manusia yang mencecah sehingga USD258 bilion pada tahun 2016. Menurut PBB juga, angka ini meningkat antara 5 peratus hingga 7 peratus setiap tahun. Isu jenayah alam sekitar bukan sahaja mengancam kelestarian negara dan kesihatan manusia, malah juga menggugat keselamatan negara.

Bagi menangani masalah berkaitan pencemaran alam sekitar di negara ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Biokeselamatan (JBK) telah menguatkuasakan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Biokeselamatan 2007. JAS, JBK dan SPAN telah melaksanakan pelbagai operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap punca-punca yang tertakluk di bawah Akta masing-masing.

- Advertisement -

Namun yang demikian, terdapat beberapa isu dan kompleksiti dalam menjalankan operasi penguatkuasaan yang memerlukan suatu proses perubahan struktur dan pendekatan secara bersepadu dilakukan dengan segera. Agensi-agensi penguatkuasa KASA memerlukan sokongan daripada segi sumber logistik, kepakaran forensik dan risikan, kekuatan anggota penguatkuasa serta pemantapan undang-undang dan bidang kuasa. Ini memerlukan tindakan bersama yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa bagi membanteras jenayah alam sekitar.

Oleh yang demikian, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa susulan Mesyuarat Khas KASA dan KDN yang baharu diadakan sebentar tadi, satu pasukan petugas khas Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) telah ditubuhkan secara rasmi yang melibatkan kerjasama antara unit penguatkuasa JAS, SPAN, JBK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Unit yang ditubuhkan secara pentadbiran ini dijangka akan dapat beroperasi pada awal Oktober ini.

Seterusnya, KASA akan mengadakan perbincangan susulan dengan JPA dan Kementerian Kewangan supaya unit ini dapat diperkukuhkan kerana ianya akan melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan tambahan.

Selain daripada itu, mesyuarat juga telah bersetuju bagi membolehkan PDRM mengambil tindakan segera ke atas penjenayah-penjenayah alam sekitar, penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan diberikan kepada PDRM. Setakat ini, perwakilan kuasa Akta Biokeselamatan 2007 telah diberikan kepada PDRM.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana memberikan kerjasama sehingga tertubuhnya unit ini.

Dengan tertubuhnya unit ini, kita berharap akan dapat dengan lebih efektif mencegah, membendung dan menyelesaikan kes jenayah alam sekitar terancang di Malaysia.

YB DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN 
Menteri Alam Sekitar dan Air
14 September 2020 – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -