RM352 juta dilulus untuk projek air Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM352.8 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi melaksanakan projek-projek bekalan air di Negeri Kelantan.

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan 1.7 juta penduduk Kelantan mendapat akses kepada bekalan air bersih dan berkualiti.

- Advertisement -

Demikian kata Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad bagi menjawab pertanyaan Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan yang meminta untuk menyatakan sejauh mana kerajaan pusat memberikan tumpuan membantu Kerajaan Negeri Kelantan terhadap masalah bekalan air bersih di Kelantan.

Menurut Kementerian KASA, terdapat sebanyak lima projek bagi kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air (LRA) dan kerja berkaitan sumber air dengan kos keseluruhan RM229.9 juta.

Sehingga kini, bagi kerja menaik taraf loji rawatan air, dua projek telah siap pembinaan iaitu LRA Merbau Chondong dan LRA Kampung Chap serta satu projek dalam proses pembinaan iaitu LRA Kampung Telok.

Manakala bagi kerja berkaitan sumber air, satu kajian telah siap dan satu projek dalam peringkat perolehan iaitu kerja-kerja pembinaan low weir di Sungai Pahi, Kuala Krai dan Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu.

Selain daripada peruntukan di bawah RMK-11, pembiayaan berjumlah RM451.68 juta di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk melaksanakan kerja-kerja perbelanjaan modal (CAPEX) bagi tempoh Operasi Ketiga (OP3) (2018-2020) Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Antara projek-projek utama yang akan dilaksanakan oleh PAAB katanya adalah menaik taraf dan membaik pulih LRA Bukit Chupak di Gua Musang dengan anggaran kos sebanyak RM16 juta.

Manakala bagi membaik pulih LRA Tanjung Mas, Kota Bharu dengan anggaran kos sebanyak RM49.95 juta dan untuk LRA Chicha Fasa 2 dengan anggaran kos sebanyak RM70 juta.

Katanya, pembiayaan ini adalah bagi kerja-kerja meningkatkan infrastruktur bekalan air seperti pembinaan loji rawatan air, naik taraf loji rawatan air, penggantian paip dan pembinaan kolam takungan dan sebagainya.

Di samping itu, agensi-agensi kerajaan persekutuan lain seperti East Coast Economic Regional Development Council (ECERDC), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Felda dan KESEDAR turut membiayai beberapa pembinaan loji rawatan air dan kerja naik taraf loji rawatan air. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -