PUTRAJAYA: PAS akan menggerakkan jenteranya bagi membantu calon Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Meskipun tidak bertanding pada PRN kali ini, jentera PAS tetap akan membantu bagi memastikan setiap calon (sekutu kami) menang di kerusi yang ditandingi,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air itu yang akan melancarkan jentera PAS di Kota Kinabalu malam esok.
Semasa ditemui media selepas mesyuarat khas kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, Tuan Ibrahim berkata jentera PAS di 20 bahagian di Sabah akan digerakkan melibatkan kira-kira 2,000 ahlinya di negeri itu dan anggota tambahan dari Semenanjung.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata parti itu menghormati keputusan rakan-rakan di Sabah yang berhasrat bertanding di kesemua 73 kerusi selepas rundingan dimuktamadkan.
PAS tidak bertanding pada PRN Sabah kali ini yang akan berlangsung pada 26 September ini. – BERNAMA