PKPD Kota Setar: MB Kedah alukan bantuan

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Kedah menyediakan peruntukan RM1 juta sebagai bantuan bekalan makanan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Daerah Kota Setar.

- Advertisement -

Mereka yang terputus bekalan makanan sepanjang PKPD boleh menghubungi talian hotline Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kota Setar (04 7028070) untuk membuat aduan dan memaklumkan alamat kediaman.

Penghantaran bekalan makanan akan diuruskan oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau individu yang berhasrat untuk turut menyumbang, boleh menghubungi PKOB Pejabat Daerah Kota Setar.

Agihan sendiri bantuan tidak dibenarkan kerana dibimbangi akan menyebabkan penularan virus COVID-19 menerusi pergerakan keluar masuk ke kawasan PKPD.

Selain itu, ‘food bank’ Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang terdapat di semua masjid di seluruh negeri ini , termasuk di kawasan PKPD boleh dimanfaatkan untuk membantu mereka yang terputus bekalan makanan.

Penduduk yang terbabit boleh menghubungi Penolong Amil LZNK atau Jawatankuasa Masjid yang berhampiran untuk mendapatkan bekalan.

Untuk rekod, penduduk daerah Kota Setar yang berjumlah 366, 787 diletakkan bawah PKPD Secara Pentadbiran sejak 11 September lalu hingga 25 September berikutan penularan pandemik COVID-19 daripada Kluster Telaga dan Kluster Sungai.

Setakat hari ini (14 September 2020), sekitar 20 keluarga telah mengadu terputus bekalan makanan kepada PKOB Daerah Kota Setar.

Penduduk yang mengalami masalah untuk mendapat bekalan makanan boleh menghubungi PKOB di talian hotline yang disertakan.

Selain itu, di daerah Kota Setar, terdapat kira-kira 6,000 penerima bantuan tetap bulanan daripada JKM, LZNK, dan Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang menerima bantuan terus ke akaun masing-masing.

Untuk PKPD Amanjaya sebelum ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM500,000 sebagai bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan makanan.

Saya juga ingin mengingatkan semua penduduk di 28 mukim dalam daerah Kota Setar dan penduduk Zon Melor, Ambangan Heights di daerah Kuala Muda untuk terus mematuhi SOP PKPD bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan sepenuhnya.

HAJI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
14 September 2010 – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -