Naratif ‘betul, benar’ vs ‘PH kencing’

Foto Facebook Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, Muktamar Parti Islam Se-Malaysia ( PAS ) ke-66 yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) telah melabuhkan tirainya tepat jam 7.00 malam (13 September 2020).

- Advertisement -

Muktamar Tahunan PAS ke-66 ini sangat istimewa kerana ianya dilaksanakan dalam suasana negara masih lagi berhadapan dengan ancaman Covid-19. Bermuktamar dalam suasana norma baharu yang sangat sederhana tetapi membakar semangat baru buat amilin dan ahli PAS seluruh negara.

Kehadiran perwakilan di PUTIK dihadkan hanya untuk pimpinan tertinggi Kawasan iaitu YDP dan AJK PAS Pusat yang semuanya berjumlah sekitar 300 orang. Buat julung kalinya muktamar ini juga dibuat secara online dan diikuti oleh pimpinan dan perwakilan kawasan-kawasan yang tidak dapat hadir ke Kelantan di seluruh negara dengan jumlah kehadiran di pusat- pusat siaran muktamar seramai lebih 600 orang.

Sangat mengujakan seramai 113,000 orang telah mengikuti perjalanan muktamar ini secara langsung di talian.

“Islam Memperkukuhkan Perpaduan” merupakan suatu tema dan hala tuju parti yang betul dan tepat pada waktunya yang dijabarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden.

Tema ini bukanlah suatu retorik politik tapi ianya adalah suatu gagasan dan wawasan yang harus diberikan keutamaan sesuai dengan pentunjuk Al-Quran dan Sunnah Rasul serta pernah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Kota Madinah dan berjaya membentuk Daulah Islam di sana.

Sebelum terbentuknya Daulah Islam Madinah, Rasulullah menyatukan dua kaum besar penduduk Madinah iaitu Aus dan Khazraj yang dikenali sebagai sahabat Ansar, mempersaudarakan Ansar dengan sahabat Muhajirin dan yang akhirnya mengikat kaum-kaum minoriti lain yang bukan beragama Islam di dalam sahifah Madinah yang diakui oleh pakar undang-undang Barat sebagai Perlembagaan bertulis pertama dalam dunia menjadi dasar kepada pentadbiran sesebuah negara.

Sudah pastilah Islam dijadikan sebagai asas dalam memperkukuhkan hubungan dan ikatan antara kaum- kaum dan penduduk pribumi Madinah.

Tema ini bukan retorik. Kita lihat PAS Sabah muncul sebagai contoh terbaik yang seharusnya dijadikan panduan oleh semua ahli politik dan parti- parti lainya ditanah air. Bagaimana PAS lebih mengutamakan perpaduan dan kemuafakatan yang telah dijalin melebihi kepentingan individu.

Ini bukanlah berlaku secara kebetulan. Kita lihat senario di Perak, Melaka dan Johor semuanya menunjukkan patern (corak) yang sama di mana PAS tidak gelojoh dalam mengejar kedudukan demi menjaga perpaduan dan muafakat.

Taat, walak dan tsiqah merupakan kekuatan dalaman PAS yang dibentuk melalui proses tarbiyah parti yang tidak ada dalam mana-mana parti lain di Malaysia. Tahniah dan syabas PAS Sabah.

Ucapan wakil Melaka Ustaz Imran Abd Rahman mengingatkan para muktamirin dan ahli PAS tentang pentingnya pra-syarat kepada kemenangan Islam mestilah diberikan fokus oleh setiap amilin.

Lima pra-syarat kemenangan iaitu akidah yang mantap, keikhlasan, istiqamah, taat dan sanggup berkorban, direalisasikan agar menjadi ahli jemaah yang mantap dan cemerlang.

Membentuk naratif dan kecenderungan pengundi adalah sangat penting. Oleh itu, peranan media sosial sangat besar dan sangat berpengaruh. Harus diingat bahawa sebahagian besar pengundi terdiri dari mereka-mereka yang tidak berparti.

Kumpulan ini boleh menaikkan atau menjatuhkan mana-mana parti. Jusetru itu, memberikan maklumat yang betul, mendidik dan mematangkan mereka adalah penting agar menjadi pengundi yang berwawasan dan berilmu dan bukannya kumpulan pengundi yang mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah politik demi kepentingan golongan tertentu.

Taktik bertahan dan menyerang, seperti yang disebut oleh Tuan Guru Presiden dalam ucapan penggulungan semestinya dicerna serta hadamkan dengan baik. Bagaimana sikap bertahan atas isu fitnah RM90 juta memberikan kesan besar tehadap kecenderungan pengundi.

Naratif “pencuri” yang diciptakan telah menjadi tsunami yang merobohkan tembok kukuh Umno dan BN yang selama ini dianggap kuat dan kebal.

Kita harus mengulang-ulangi naratif “PH kencing” atas kegagalan mereka menunaikan janji manifesto dalam PRU-14 sebagai mana mereka menjaja naratif RM90 juta dan Pencuri.

Sebagai parti yang berteraskan kepada akidah Islam, naratif yang diwujudkan ini mestilah yang betul dan benar dan bukanya bersifat fitnah seperti yang PH pernah lakukan.

Setiap ahli PAS harus menjadi sukarelawan tentera media sosial untuk membina naratif betul lagi benar dalam kalangan rakyat Malaysia dan dalam masa yang sama mempertahankan parti, pimpinan parti dan rakan-rakan dalam PN dan MN dan menyerang untuk melemahkan benteng pertahanan parti lawan.

Kehadiran Dewan Himpunan Pendukung PAS telah berjaya menolak dokrin lawan menuduh PAS adalah sebuah parti penunggang agama dan rasis. Kita dapat melihat bagaimana Mr Balasubramaniam dengan berpakaian tradisi masyarakat India duduk sebaris dengan pimpinan utama Parti Islam PAS di Muktamar PAS ke-66 ini. Terlantiknya beliau sebagai Senator Ahli Dewan Negara di atas tiket PAS membuatkan musuh dan lawan politik terkedu.

Islam menjamin kesejahteraan dan keadilan terhadap semua manusia. Melindungi hak-hak bukan Islam. Inilah peluang terbaik PAS bagi membuktikan setiap titik baris dari perjuangan yang berteraskan Islam ini terlaksana di dalam kehidupan bukan hanya sekadar menjadi bahan kuliah di masjid-masjid.

Semoga Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan dapat memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia seterusnya memenangi PRU-15 bersama MN dan PN agar Islam dapat dilaksanakan secara praktikal dalam kehidupan bermasyarakat dan negara.

Islam memperkukuhkan perpaduan

HJ BAKRI JAMALUDDIN – Ketua Penerangan PAS Melaka – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -