KPDNHEP proaktif pantau kenaikan harga barang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif bagi meminimakan kenaikan harga barang di dalam negara.

Menurut Timbalannya, Dato’ Rosol Wahid berkata antara langkah-langkah yang telah diambil ialah menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak muhasabah oleh peniaga.

- Advertisement -

Katanya selain itu langkah seterusnya menguatkuasakan perintah kawalan harga iaitu penandaan harga oleh penjual runcit 1993 bagi mewajibkan peniaga-peniaga meletakkan tanda harga ke atas barang yang dijual atau yang dipamerkan.

Di samping itu, katanya melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga barang keperluan musim perayaan tertentu semasa musim perayaan pertama dan sebagainya.

Tambahnya lagi ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini, pegawai penguatkuasaan akan membuat pemeriksaan di seluruh negara bagi memastikan harga mematuhi undang-undang serta peraturan yang dikuatkuasakan oleh kementerian berkenaan.

Pada masa yang sama, ujarnya, kementerian turut mendapat kerjasama yang hebat daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan bekalan makanan khususnya yang melibatkan bekalan ayam, ikan, daging dan sayuran sentiasa mencukupi serta tidak terjejas sekali gus memastikan harganya berada pada kadar yang berpatutan.

Sebagai langkah yang proaktif, Rosol berkata pemantau harga barang juga turut dilakukan secara konsisten oleh pegawai pematuhan harga kementerian untuk membuat pemantauan ke atas pasaraya-pasaraya besar, pasar basah, pasar mini dan sebagainya.

Mengulas lanjut katanya, hasil pemantauan itu akan digunakan sebagai laporan ‘melatih’ harga dan tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku kenaikan harga.

Dalam pada itu, melalui soalan tambahan Senator Ustazah Asmak Husin meminta menyatakan langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk meminimakan kos tersembunyi akibat daripada birokrasi pandemik Covid-19 ini.

“Kita di kementerian ini berlaku sesuatu keadaan kontradiksi dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Mereka mahu harga tinggi, kita mahu harga rendah, jadi bila harga tinggi mereka mahu supaya petani ini akan mendapat keuntungan yang lebih baik,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kementerian sedang menjaga pengguna untuk memastikan harga itu sentiasa rendah.

“Jadi apabila berlaku kenaikan harga yang mendadak sama ada kos tersembunyi atau kos yang berterusan, kita akan memantau jika kenaikan itu melebihi apa yang sepatutnya kerana kita tahu setiap sayur yang hendak dijual kepada pengguna ia akan melalui beberapa lapisan iaitu daripada penanam, pemborong, orang tengah dan seterusnya.

“Kini, kita sedang cari bagaimana mekanisma untuk memastikan kos layer orang tengah ini dapat dikurangkan untuk mengurangkan harga kepada pengguna,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -