Kerajaan komited stabilkan harga getah

Foto Facebook Rubber Asia
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited menstabilkan harga getah dan meningkatkan nilai tambah getah dengan melaksanakan langkah kerjasama dengan pengeluar utama getah di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC) bagi memperkukuhkan harga pasaran getah antarabangsa.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng berkata, di bawah kerjasama itu hasil pengeluaran bagi ketiga-tiga negara yang terlibat adalah sebanyak 63.3 peratus daripada pengeluaran harga getah asli dunia.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian di Dewan Negera hari ini bagi menjawab pertanyaan Senator Siti Fatimah Yahya yang meminta kerajaan menyatakan berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk menstabilkan harga getah serta perancangan kerajaan meningkatkan nilai tambah komoditi.

Menurut Wee, antara usaha lain juga adalah meningkatkan penggunaan getah dalam negara bagi mengukuhkan harga getah dalam jangka sederhana dan panjang.

Katanya lagi, ini termasuk penggunaan getah dalam pembinaan jalan raya dan penghasilan peroduk-produk baru.

Selain itu juga kata beliau, kerajaan memperkenalkan konsep dalam komuniti getah bertujuan untuk meningkatkan bekalan bahan mentah di samping menjana pendapatan tambahan pekebun kecil menerusi tanaman serta ternakan haiwan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan juga telah merancang meningkatkan koridor lateks negara di bahagian Pantai Timur dengan tujuan untuk mendapat hasil lateks tempatan bagi menyokong perkembangan industri pembuatan barangan getah lateks, di samping meningkatkan pendapatan pengusaha getah. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -