Keputusan tidak bertanding bijak dan berstrategi

- Advertisement -

KEPUTUSAN PAS tidak bertanding dalam PRN Sabah dua minggu lagi adalah satu keputusan yang bijak dan berstrategi. Menjaga hubungan rakan parti dalam muafakat satu hal, agar tidak berlaku pertandingan banyak penjuru, tetapi melakukan keputusan ‘hikmah’  (wisdom), itu suatu hal yang lain dan amat besar ertinya.

Tahniah PAS, sesungguhnya keputusan yang  telah dibuat mencerminkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dilaung oleh PAS selama ini. 

Pada saya, PAS lebih molek menjadi parti dakwah di Sabah dan Sarawak buat masa ini. Penerimaan Bumiputera Sabah dan Sarawak, belum sampai kepada tahap yang diidamkan. 

- Advertisement -

In sya Allah, apabila sudah ada kekuatan nanti, baharulah terjun ke arena politik Sabah dan Sarawak sepenuhnya.

Pendek kata, besar pengorbanan PAS dalam menjaga hati rakan semuafakat. Harap akan dikenang. Sedarlah kuasa bukan segala-galanya dalam perjuangan. Menjaga hati dan silaturahim, itulah asas untuk berjaya.

Namun, tidak sedemikian rupanya apabila berlaku PRU15 nanti. Sudah tiba masanya rakan semuafakat melakukan hikmah kepada PAS, terutama melibatkan kerusi-kerusi di Semenanjung.

Pada ketika itu, jika tidak diberi, PAS harus bertegas mendapatkan hak dan kerusi yang sepatutnya. Berkorbanlah hari ini untuk kemenangan pada hari esok. Kepada PAS, teruskanlah gerakan dakwah tanpa henti di Sabah dan Sarawak. Pasti Allah akan membantu hamba-hamba-Nya yang ikhlas dalam perjuangan. 

Hidupnya masjid surau di Sabah Sarawak selama ini, sebahagiannya kerana adanya orang PAS. Harap komen saya tidak keterlaluan, kerana itulah yang saya perhatikan selama ini.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 14/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -