Islam jamin keadilan untuk semua

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang bukan Islam di negara ini tidak perlu bimbang apabila Islam (yang) memimpin negara, ia akan menjamin keadilan kepada semua kaum.

Perwakilan Selangor, Ustaz Shafie Ngah berkata, kerjasama PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) adalah untuk menyatupadukan orang Melayu-Islam tanpa meminggirkan kaum lain.

- Advertisement -

“Terdapat kegusaran orang bukan Islam bahawa Muafakat Nasional akan menzalimi mereka harus dinyah sejauhnya.

“Dalam masa yang sama, kita (pemimpin Islam) perlu buktikan kepada mereka apabila Islam memimpin dan memerintah Islam adil untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) dekat sini, semalam.

Menurut beliau, sememangnya ada pihak yang tidak senang dan benci dengan pembentukan MN ini dengan memberi pebagai tuduhan.

“Ada yang kata apabila PAS mengetuai kerajaan akan memperjuangan ketuanan Islam dan orang bukan Islam akan terpinggir.

“(Ada yang kata) Sekarang, PAS bersama Umno yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan orang bukan Melayu akan dizalimi. Memang mereka (musuh) akan benci dengan semua movement yang kita buat.

“Oleh itu, biarkan mereka (musuh) menjerit dan menyalak, namun MN mesti berjalan terus,” ujarnya.

Dalam ucapan Ustaz Shafie turut memetik kata-kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mengatakan bahawa ‘sepanjang PAS memerintah Kelantan, tidak ada pun bulu roma orang bukan lslam gugur ke bumi walaupun sehelai’.

Katanya, ini membuktikan bahawa Islam tidak pernah menzalimi orang bukan Islam, malahan mereka boleh hidup aman harmoni di bawah pemerintahan Islam.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor berkata, dalam membuktikan Islam itu adil untuk semua, umat Islam mestilah menjalinkan hubungan yang baik dengan orang bukan Islam.

“Apa yang menjadi kegusaran kita adalah tidak ramai ahli di akar umbi yang serius menjalinkan hubungan baik dengan orang bukan Islam dan bukan Melayu. Jangan dikatakan kita ini cakap tak serupa bikin,” jelas Ustaz Shafie lagi.- HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -