Demam kuning: Serahkan kepada doktor tangani

- Advertisement -

KISAH sebegini suka saya jadikan sebagai satu pengajaran. Bukan untuk merendahkan perbuatan sesiapa. Tetapi sebagai pakar perubatan, wajib saya coretkan peristiwa ini supaya ianya jadi satu teladan buat kita semua.

Majoriti bayi yang kuning adalah perkara normal. Cuma ianya perlu diuruskan dengan baik. Bukannya mendengar nasihat individu atau kumpulan yang tidak berpengalaman.

Kurang dari 1 peratus bayi diakibatkan dari penyakit bahaya yang menyebabkan kuning berlaku seperti billiary atresia(salur hempedu terkatup) dan beberapa penyakit darah lain. Pengesahan penyakit-penyakit tersebut wajib dilakukan oleh doktor pakar.

- Advertisement -

Maknanya, majoriti anak-anak yang mengalami gejala kuning akan hilang dalam tempoh 2 minggu. Kenapa 2 minggu? Dalam keadaan anak-anak normal, pertukaran darah ibu ke darah bayi akan mengikut kadar tertentu. Biasanya 2 minggu proses pertukaran itu siap. Jika kadar penguraian darah ibu melebihi darah bayi, kekuningan akan semakin tinggi. Oleh itu terlalu penting anak-anak diselia senantiasa oleh anggota kesihatan yang mahir. Terdapat juga kes yang melebihi 2 minggu. Jika berlaku, sila dapatkan nasihat doktor dan ujian tertentu akan dilakukan.

Fototerapi adalah satu kaedah yang telah disahkan berjaya menurunkan paras kuning itu. Tindak balas cahaya UV yang terdapat dalam mesin fototerapi adalah gelombang khusus yang telah dihadkan sesuai mengikut keadaan bayi. Tidak semua bayi wajib masuk bawah lampu lembayung biru itu.

Memang ya cahaya matahari juga mampu mengurangkan paras kuning bayi. Tetapi menjemur bayi di bawah panas cahaya matahari tidak sesuai untuk anak kecil. Bukan sahaja tidak sesuai, tetapi kepanasan cahaya matahari boleh membahayakan tubuh anak. Kesian dia kedahagaan akibat dijemur. Boleh berlaku dehidrasi (kekeringan air dalam tubuh). Lagipun negara kita sudah cukup canggih dan hospital dilengkapi mesin fototerapi. Lainlah di negara-negara dunia ketiga yang frasarana hospital pun di bawah paras kemunduran!

Apa pun rawatan kuning anak anda, jangan bertanya di media sosial atau amalkan petua yang mengarut.

Ada juga yang buat uji kaji sendiri dengan menepung tawar bayi kecil itu, mandikan dengan daun serai, beri air zamzam, suap madu, habbatussauda dan banyak lagi. Percayalah usaha itu tidak mengubah paras kuning dalam badan. Walaupun mereka mendakwa berjaya, tetapi kalau tidak buat amalan lumur serai atau minum air zamzam dan lain-lain sekalipun paras kuning akan turun apabila sampai masanya. Dakwaan mereka berjaya itu hanya kebetulan. 

Yang penting adalah selalu pantau paras kuning melalui ujian darah. Jika melebihi paras yang sepatutnya, baru kita letakkan bawah fototerapi. Jika terlalu tinggi paras kuning, tidak padan dengan fototerapi, kena buat pertukaran darah. Bab ini doktor pakar yang akan tentukan rawatan. Jangan kita buat pandai sendiri pergi jemur bawah matahari atau berkeras juga nak lumur bayi itu dengan segala mak nenek yang tidak berkesan. Dengarlah cakap pakar.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -