Bendung fahaman bertentangan Islam – Dr Zulkifli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengambil beberapa langkah untuk membendung penyebaran ideologi serta aliran pemikiran yang bercanggahan dengan aliran Islam seperti syiah, liberalisme, pluralisme dan lain-lain lagi.

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata antara langkah itu yang telah sekian lama dilaksanakan seperti mengeluarkan hukum, mewartakan fatwa dan perundangan.

Ujarnya, sejak 5 Mei 1966 Jawatankuasa Fatwa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bermesyuarat menetapkan pandangan hukum supaya umat Islam di Malaysia mengikut ajaran Islam berasaskan Ahli Sunnah Waljamaah selain daripada pegangan itu adalah dilarang.

Tambahnya, MKI telah disusuli dengan fatwa pengharaman syiah di 14 buah negeri di Malaysia dan fatwa tersebut telah diwartakan serta boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pengikut Syiah.

MKI yang bersidang kali ke-74 iaitu pada Julai 2006 turut membincangkan aliran pemikiran liberal, hukum dan implikasinya telah menyebut bahawa aliran pemikiran seperti ini adalah sesat serta menyeleweng daripada syariat Islam.

“Sabanyak enam buah negeri telah mewartakan keputusan fatwa antaranya Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah,” ujarnya.

Kerajaan Negeri Selangor katanya antara yang telah mewartakan fatwa pemikiran liberalisme dan pluralisme sebagai ajaran sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam di bawah enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

Selain itu, pemantauan secara berkala dan tindakan penguatkuasaan di bawah akta atau enakmen kesalahan jenayah syariah oleh pihak berkuasa agama negeri sekiranya terbukti terdapat unsur-unsur penerbitan, penyiaran atau penyebaran apa-apa buku risalah, filem, video dan lain-lain berhubung fahaman itu.

Malah katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri telah memberikan penerangan melalui siri penjelasan dalam seminar serta forum berkaitan akidah.

“Begitu juga dengan pendedahan bahawa fahaman syiah liberalisme dan pluralisme agama melalui media baharu dan penyiaran seperti siaran khutbah serta rancangan-rancangan agama melalui forum Perdana ‘Hal Ehwal Islam’ dan ‘Anda musykil’ yang disiarkan melalui TV serta rancangan lain yang turut diterbit dan disiar melalui radio stesyen-stesyen nasional kerajaan serta boleh diakses melalui media baru,” katanya.

Tambahan lagi, kementeriannya turut melaksanakan Muzakarah pakar sidang meja bulat bangkel bersama agensi peringkat persekutuan dan negeri bagi berkongsi input serta mencari solusi untuk menangani masalah penularan ajaran seperti ini.

Menurutnya, program pemantapan kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dengan agensi yang menyelaras program kepada penjawat awam dan institusi pengajian tinggi khususnya kepada pelajar yang akan keluar negara.

“Kita juga telah mengeluarkan beberapa bahan bacaan dan buku berkaitan isu liberalisme, pluralisme dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi Dan Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Negeri berhubung perkara ini seperti buku ‘Soal Syiah Di Malaysia’ serta ‘Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia’ yang diterbitkan oleh JAKIM.

“Menyediakan kokurikulum pendidikan peringkat rendah kelas al-Quran dan fardhu ain. Dalam kokurikulum tersebut penekanan diberikan terhadap pendidikan akidah yang benar melalui penggubalan kokurikulum agama atau silibus agama yang berkaitan,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujarnya perkembangan fahaman-fahaman tersebut di negeri ini masih terkawal dan belum berada pada tahap yang membimbangkan.

“Kita sentiasa mengambil kecaknaan dan keprihatinan dalam menangani isu-isu ini dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri agensi keselamatan serta memantau kewujudan aktiviti kumpulan ini.

“Semoga negara kita bebas daripada gejala ajaran-ajaran yang menyimpang daripada agama Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan daripada Senator Sabani Mat di Dewan Negara, hari ini. – HARAKAHDAILY 14/9/2020

- Advertisement -