Tidak amal Islam punca kelemahan umat – Presiden

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelemahan umat Islam pada hari ini apabila tidak mengamalkan ajaran Islam yang sempurna, sebagaimana dilakukan oleh umat terdahulu, demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

“Maka apa yang berlaku terhadap umat Islam tidak boleh menjadi ukuran kepada ajaran Islam.

“Oleh itu, sudah menjadi kewajipan kepada kita untuk mengembalikan umat Islam kepada petunjuk Allah SWT bagi meletakkan Islam memimpin semula. Islam bukanlah sekadar menjadi agama yang dianuti oleh individu masing-masing, sekadar berjamaah di masjid dan surau, atau semata-mata berhimpun menunaikan haji dan umrah sahaja.

“Sebaliknya penerusan risalah Islam wajib disambung semula dengan kembali ke pangkal jalan, setelah umat Islam kehilangan kuasa sehingga dijajah tanah air dan pemikiran mereka,” katanya dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Kali ke-66 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa ajaran Islam yang sempurna termasuk beramal dengan semua aspek kehidupan seperti perjuangan politik bagi menegakkan negara.

Menurutnya, ia bermula dengan tarbiah (didikan) secara individu, keluarga, berjemaah atau berparti, dengan konsep perpaduan umat Islam yang memimpin dan diikuti dengan penyertaan masyarakat majmuk, berbagai bangsa serta agama.

Katanya, semua golongan ini berjaya disatupadukan di bawah konsep ‘Negara Berkebajikan’ yang paling sempurna, tidak seperti ideologi ciptaan ahli falsafah yang gagal dipertengahan jalan.

Jelasnya ia terbukti dengan runtuhnya sosialisme, komunisme dan merundumnya liberal kapitalisme, malahan demokrasi yang dijadikan slogan kononnya ‘suara rakyat suara keramat’ hanyalah tipu daya yang menyesatkan rakyat.

Tambah Tuan Guru Abdul Hadi, misi dakwah Rasulullah SAW dimulai dengan menyatupadukan penganut Islam di kalangan bangsa arab yang sebahagian besarnya terdiri daripada kumpulan Muhajirin dari Makkah dan kumpulan Ansar dari Madinah.

“Kemudian misi penyatuan disertai oleh kalangan penganut Islam bukan Arab, dan diikuti bukan Islam yang tidak ekstrem daripada berbagai agama.

“Golongan bukan Islam ini bencikan kezaliman dan kehidupan yang tidak bermoral mengikut fitrah serta tabii manusia termasuklah menolak manusia yang melampau di luar tabii,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -