Terokai media sosial, raih undi pemuda

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyarankan para perwakilan PAS menerokai dunia media sosial untuk melebarkan sayap bagi meraih pengundi dalam kalangan anak muda.

Wakil DPPM, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, media sosial memberikan pengaruh yang cukup besar dalam kalangan generasi muda.

- Advertisement -

“Hampir tujuh hingga lapan juta melibatkan pengundi baru berumur 18 tahun yang mana 80 peratus kehidupan mereka berkomunikasi di dalam media sosial.

“Maka dengan ini, DPPM mengajak kepada seluruh kepimpinan dan saf perwakilan untuk bergiat aktif dalam media sosial dan memberi pengaruh kepada anak-anak muda agar mengikuti perjuangan kita.

“Di luar sana memerlukan dakwah kita, jangan kita syok sendiri dan berada di dalam zon selesa dan selamat melibatkan pengaruh kita sahaja,” ujarnya.

Sementara itu katanya, DPPM telah mengorak langkah dalam media sosial dengan membuka akaun aplikasi Tiktok bagi mengemaskini segala perkembangan terkini parti.

“Dalam dua minggu lepas, kami mengambil peluang dan kesempatan merakamkan kehadiran Presiden PAS ke muktamar kami lalu dimuat naik ke laman sosial tersebut.

“Sangat mengejutkan kami apabila jumlah tontonan hampir 35,000 kurang daripada tempoh 24 jam dimuat naik, malah terdapat komen-komen yang sangat positif dalam kalangan anak-anak muda,” katanya.

Jelasnya, ianya merupakan salah satu daripada ciri-ciri gagasan yang dibawa oleh DPPM menuju satu tempoh cabaran yang agak besar dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Tiga ciri utama yang digariskan ialah memimpin perubahan, memimpin kekuatan dan memimpin perasaan,” katanya.

Dalam pada itu, DPPM mencadangkan untuk melakukan perubahan dalam minda sebagai pejuang dalam parti khususnya seperti yang digariskan dalam ciri memimpin perubahan.

“Lakukanlah perubahan minda daripada bermindakan seorang pembangkang menjadi seorang yang berminda kerajaan.

“Berubahlah daripada minda menunggu kepada minda yang menggerakkan.

“Berubahlah daripada minda yang mahu berjauhan dengan orang lain yang melibatkan eksklusiviti kepada orang ramai kepada minda yang bersosial dengan semua golongan,” kata Khairul Nadzir.

Beliau berkata demikian di Muktamar PAS kali ke-66, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Tambahnya, sebagai pejuang agama Allah, memimpin perasaan juga amat penting bagi memacu kemenangan dalam sesebuah kerajaan.

Katanya, sejak kebelakangan ini anak-anak muda di peringkat cawangan mahupun atasan ada menyatakan beberapa luahan perasaan yang dilihat agak drastik, keras malah melebihi suara parti.

Namun ujarnya, apabila dikeluarkan arahan daripada Presiden PAS, saf kepimpinan akan dilaksanakan penuh ketaatan atas arahan yang diperintahkan.

“Ini janji DPPM, anda mungkin lihat kami garang, terjerit, terpekik dan terlolong meluahkan perasaan tetapi kami akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh ketaatan dan kesabaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -