Tema muktamar inspirasi dari perjuangan Rasulullah

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’ telah diangkat sebagai tema bagi Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 pada tahun ini yang terinspirasi daripada permulaan perjuangan Rasulullah SAW ketika menegakkan Islam dalam diri, keluarga, jemaah dan masyarakat.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kejutan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, telah berjaya menggerakkan usaha perpaduan ummah bermula dengan perpaduan bangsa menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno.

- Advertisement -

Menurutnya, penyatuan terus berlangsung dengan penyertaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kumpulan Islam yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan juga kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Usaha penyatuan membuahkan hasil apabila Putrajaya berjaya diambil alih setelah ditinggalkan oleh PH yang tidak mampu bertahan kerana kerajaan mereka diruntuhkan oleh diri sendiri akibat tangan-tangan mereka yang saling bercakaran sesama sendiri.

“Langkah yang dilakukan adalah mengikut saluran demokrasi Berparlimen melalui wakil rakyat dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Kali ke-66 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata perpaduan Islam dimulakan dengan menggabungkan PAS dan Umno terlebih dahulu bagi menegakkan kepimpinan Islam sehingga Umno meminda Perlembagaan mereka dengan meletakkan Islam di hadapan kerana semangat MN.

Malahan, ianya diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan pecahan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti yang mewakili pelbagai kaum dan agama termasuk parti bukan Islam yang menerima konsep perpaduan nasional sehingga Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya ditubuhkan.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, langkah mengambil alih kerajaan yang dikosongkan oleh PH bukan langkah spontan ataupun segera tetapi langkah yang panjang dan berwawasan melangkaui Wawasan 2020 yang telah tamat perjalanannya.

Katanya, kerajaan PN hari ini hanya menyambung wawasan baharu untuk diisi dalam masa terdekat menerusi kerajaan sementara ini dan bersedia untuk membina sebuah kerajaan yang lebih kukuh melalui demokrasi dan menjadi pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

“Kita wajib menghadapi PRU-15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan bagi menghadapi pilihan raya kali ini supaya kita tidak menjadi laksana ‘lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang’.

“Sekarang kita sudah tangkap ayam yang makan beras padi yang tumpah dahulu, maka jangan diulang lagi dalam PRU-15 sehingga ayam pula terlepas, tangan pula berbau tahi,” ujarnya.

Demikian itu katanya, menjadi suatu kewajipan, perpaduan yang terbina ini diteguhkan agar memenuhi syarat kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang menegakkan agamaNya.

Mengapa perpaduan Melayu Islam terlebih dahulu?

Kepimpinan yang paling berpengaruh didukung daripada bangsa yang menganut Islam dan bangsa yang mendominasi dalam masyarakat.

Berikutan itu, katanya bangsa yang bersama Islam wajib bangkit supaya tidak dihanyutkan oleh pengaruh bukan Islam yang menghilangkan jati diri sendiri.

Bagaimanapun, hak bukan Islam tetap terjamin dan Islam mengizinkan umatnya mengadakan hubungan dengan bukan Islam dengan sempadan yang kukuh dan teguh bagi menjaga Islam sebagai akidah negara.

Malahan jelasnya, peranan bukan Islam dalam politik negara diizinkan sehingga dibenarkan memegang jawatan Menteri Kabinet, Exco kerajaan negeri dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkait dengan soal pengurusan dan pentadbiran yang tidak berkait dengan perkara dasar dalam Islam.

“Islam bukan bersifat fanatik perkauman kerana kepimpinan Islam juga bertukar bangsa yang memimpinnya.

“Perkara yang paling penting adalah Islam menerima hakikat fitrah kecintaan kepada bangsa sendiri dan secara khusus menjaga keluarga sendiri,” kata Tuan Guru Abdul Hadi lagi.

Jelasnya ia terbukti apabila bangsa Melayu yang menganut Islam adalah bangsa yang paling bertoleransi dan tidak rasis kesan daripada ajaran Islam dalam diri mereka. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -