Selamat datang Murali ke dalam keluarga PAS

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

MURTAMAR PAS kali ke-66 di PUTIK kali ini juga memberikan kejutan tersendiri apabila pengarah filem dan drama terkenal negara ini, Murali Abdullah telah menyerahkan borang untuk menyertai gerakan Islam tertua negara ini. Murali sebelum ini pernah menziarahi Tuan Guru Abdul Hadi di rumah kayu Presiden PAS di Kampong Rusila Marang. Beliau memuat turun status memuji gaya hidup sederhana tok guru dan merasa kesal dengan fitnah pembenci Tuan Guru selama ini.

- Advertisement -

Murali yang sebelum ini pernah menganggotai PAN telah mengisytiharkan keluar daripada parti gabungan PH itu kerana mahu dirinya terpandu dengan suluhan ulamak dan cendekiawan Islam. Pengarah filem yang mula giat dalam industri seni dalam dekad 1990-an. Antara filem arahan Murali ialah ‘Aku Kaya’, ‘Hantu Air’ dan lain- lain filem , manakala drama arahannya yang pernah meledak ialah ‘Obsesi’, ‘kelip-kelip di Kota London’ serta banyak drama lain serta telefilem.

Anak seni ini pernah menerima anugerah Pengarah terbaik drama Anugerah Skrin tahun 2010, Anugerah Media Islam Negara 2009, memenangi Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin 2008 dan lain-lain anugerah. Penyertaan Murali ke dalam PAS pastinya akan memeriahkan penglibatan anak-anak seni untuk bersama PAS kerana harakatul ummah ini tidak pernah meminggirkan aspek kesenian dan kebudayaan. Anak-anak seni, karyawan dan budayawan meminati PAS biasanya dengan harapan untuk menimba ilmu dan tertarik dengan budaya dalaman PAS yang jauh berbeda dengan parti konvensional lain.

PAS tidak menolak hiburan dan kesenian selagi mana ianya patuh syariah, tidak menjurus kepada dosa serta ‘lagho’ . Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebaikan. Berakar daripada keracunan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada sensate culture, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Kemasukan Murali Abdullah ke dalam PAS , pastinya akan memeriahkan usaha dakwah melalui kesenian dan hiburan patuh syariah. Jika sebelum ini, PAS telah memiliki pengarah drama dan filem seperti Adam Hamid, pelakon serta pengkarya seperti Bob Lokman, pemuzik serta penyanyi seperti Zuar XPDC, Man John, ratusan penggiat genre nasyid tanah air.

Belum lewat untuk PAS memikirkan filem dan drama bernuansa dakwah sebagaimana teman- teman kita di tanah seberang berbangga dengan filem ‘Sang Murabbi’, ‘Sang Pencerah’, ‘Di bawah Naungan Kaabah’ dan puluhan filem -filem berorientasi dakwah. Industri filem antarabangsa pernah mengkagumi mutu filem ‘Children From Heaven‘ daripada Iran. Penulis mengkhayalkan agar filem epik bersalut perjuangan ulamak dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air mampu diangkat ke layar perak, umpamanya kisah Tuan Guru Hasan Bin Munas ( Tok Janggut) di Kelantan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu. Malah biografi perjuangan ulamak tersohor seperti almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mampu menjadi tarikan pesona yang besar dalam industri filem dakwah.

Masyarakat muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan takdir. Kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Semoga kehadiran Murali Abdullah 57 tahun ,anak kelahiran Parit Buntar ini mampu menjadi aset kepada PAS sebagai gerakan Islam yang telah menjadi sebahagian daripada rakan kongsi kerajaan Persekutuan dan memimpin tiga buah negeri jantung hati orang Melayu negara ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

- Advertisement -