Perlu pewaris ulamak berpengaruh dalam masyarakat

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Golongan ulamak merupakan pewaris para anbiya’ yang berpengaruh dalam masyarakat.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, golongan ulamak berperanan menyebarkan ilmu serta melakukan islah dan tajdid bagi menghadapi kehidupan semasa dan cabarannya yang membahayakan.

- Advertisement -

Jelasnya, peranan ulamak ditegaskan dalam surah al-Taubah ayat ke 122 yang bermaksud “Hendaklah ada di antara mereka, orang-orang (yang tinggal) itu bertafaquh (mempelajari secara mendalam dan faham) ilmu yang dituntut di dalam agama (Islam), dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).

Katanya, walaupun mungkin terdapat kalangan ulamak yang tidak memenuhi syarat untuk berijtihad bagi menghadapi masalah semasa yang tidak wujud pada zaman dahulu atau hanya mampu mentarjihkan masalah khilafiah dalam perkara cabang kerana situasi dan realiti yang berubah, namun ijtihad boleh dipenuhi secara berjemaah.

Tambahnya, ulamak berperanan dalam menggerakkan dakwah, ta’lim dan tarbiah bukan sekadar memeriahkan kuliah dan ceramah semata-mata.

“Ulamak bukan sekadar memainkan peranan dalam meramaikan mereka yang hadir dalam kuliah dan ceramah dengan sekadar berhibur sahaja, tetapi mestilah menanamkan kesedaran beragama, berpolitik dan mengemukakan penyelesaian Islam kepada permasalahan masyarakat,” ujar Tuan Guru Abdul Hadi dalam Ucapan Presiden PAS pada Muktamar PAS kali ke-66, di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) dekat sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -