Perkasa Tarbiyah menjana kejayaan

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli PAS diingatkan agar menjadikan manhaj yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat sebagai rujukan agar pentarbiyahan di semua peringkat dapat diselaraskan.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, dalam ucapan penangguhannya memaklumkan, sebanyak enam jilid buku telah dikeluarkan oleh lajnah berkenaan yang mengandungi kertas kerja tamrin qiadi, asas dan nizam tarbiyah termasuk manhaj-manhaj yang perlu diselaraskan.

- Advertisement -

“Semua perkara tersebut sudah dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiyah dan perlu diikuti semua terutama pemimpin PAS,” ujarnya.

Katanya lagi, tarbiyah berbeza berbanding taklim di mana tarbiyah memerlukan amalan berterusan dan tidak akan berjaya dalam tempoh satu hari sahaja.

Oleh itu ada dari kalangan ahli atau pemimpin PAS sudah melaluinya sejak lama sama ada sejak kecil atau semasa di pusat-pusat pengajian.

“Soal murabbi untuk dijadikan qudwah, naqib, naqibah semuanya itu unsur-unsur yang dibentuk melalui tarbiyah. Manakala tarbiyah juga akan mewujudkan bi’ah (suasana) solehah selain amalan berterusan tanpa putus-putus.

“Wakil DHPP berucap pun mengikut tarbiyah PAS. Kalau kita tidak ambil kisah, saya bimbang Allah akan gantikan kaum lain mengatasi kita,” sambung Ahli Dewan Negara itu lagi.

Justeru itu pembinaan Jentera J12K perlu diperkasakan dengan lebih aktif dan setakat ini hanya beberapa buah negeri sahaja yang membuat pendaftaran melepasi 50 peratus.

“Awal 11,700 orang, daftar 4,493 dan yang aktif  615 orang, yang tidak aktif 3,770 orang,” maklumnya lagi.

Ekoran itu ujarnya, penyertaan golongan muda terutama dari kalangan anak-anak ahli parti perlu digiatkan sedangkan dalam masa yang sama produk untuk golongan berkenaan amat baik, seperti Riding Alternatif Club (RAC) Jabatan Amal, Briged, Ameerah, Nusaibah dan lain-lain namun pelanggannya tidak ada.

Sekiranya perkara tersebut tidak diambil perhatian, beliau bimbang PAS akan kehilangan pelapis dan pemimpin masa akan datang.

“Pastikan anak-anak kita mengikuti usrah atau program-program jemaah di kampus atau di mana mereka tinggal,” luahnya.

Kesempatan itu beliau mencadangkan agar ILHAM dijadikan pra-syarat kepada untuk memegang jawatan lantikan politik.

Melalui ILHAM juga katanya akan disediakan modul pentadbiran untuk golongan agama khususnya para ustaz dan ustazah.

“Kita juga mengalu-alukan anak-anak yang ingin membuat kajian berkenaan ILHAM sama ada untuk master, PHD atau lain-lain,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -