Patuhi jemaah di kala susah dan senang

Perwakilan Perlis, Wan Hassan Ismail menyampaikan perbahasannya secara atas talian dari Perlis.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Sesuatu keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS adalah satu bertepatan perlu dipatuhi oleh semua ahli dan pemimpin parti.

Wakil Perlis, Wan Hassan Ismail, dalam ucapannya menegaskan kepatuhan kepada pemimpin tertinggi seperti Majlis Syura Ulamak merupakan adab berjemaah yang perlu diakur semua.

- Advertisement -

Jelasnya lagi, sepertimana ungkapan keramat Saidina Abu Bakar Al-Khatab bahawa tiada Islam melainkan jemaah, tiada jemaah melainkan kepimpinan dan tiada kepimpinan seandainya tiada kepatuhan.

“Patuhlah kepada keputusan parti dan Majlis Syura Ulamak dalam keadaan susah dan senang serta berlapang dada akan ketetapan yang telah dipersetujui,” kata beliau ketika membahaskan Ucaptama Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan kali ke-66, di sini, awal tengahari tadi.

Sehubungan itu, Wan Hassan mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada semua entiti PAS yang sentiasa melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan terutama di kala Malaysia menghadapi pandemik wabak Covid-19.

Perlis antara negeri yang mengikuti muktamar tersebut secara di atas talian, tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada golongan frontliners sama ada pasukan keselamatan, petugas kesihatan dan lain-lainnya di atas pengorbanan menjaga keselamatan rakyat Malaysia berhubung pandemik terbabit.

“Kepada Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tahniah di atas usaha yang tidak pernah jemu menyampaikan info-info terkini berkenaan wabak Covid-19 untuk pengetahuan kita semua.

“Juga golongan frontliners yang sentiasa berkorban menjaga keselamatan rakyat Malaysia,” sambungnya.

Dalam hal lain, beliau turut bersetuju dan menyokong usul memperketatkan kriteria pemilihan calon pilihan raya sebagaimana yang dibincangkan di dalam Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Malaysia yang berlangsung semalam. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

- Advertisement -