Mengutip hikmah tidak bertanding PRN Sabah

- Advertisement -

KETIKA menerima makluman bahawa PAS langsung tidak bertanding dalam PRN kali ini, menitis air mata secara tiba-tiba.

- Advertisement -

Air mata itu mengalir tanpa sengaja kerana memikirkan kesungguhan akar umbi yang siang malam turun ke lapangan memberi kefahaman dan penerangan kepada rakyat tentang PAS.

Mereka ini pula ramainya bukanlah ahli ‘hardcore‘ tetapi yang baharu mengenal PAS tapi punya rasa cinta mendalam kepada perjuangan Islam.

Demikian luahan seorang pimpinan kepada kami sebelum memulakan taujihatnya bagi menaikkan semula semangat ahli yang pudar dek situasi semasa PAS di Sabah.

Bahkan penulis sendiri amat sedih mengenangkan apa yang diterima oleh PAS lewat rundingan kerusi bersama rakan muafakat.

Namun, ubat kesedihan harus dicari agar rajuk tidak berubah jadi derhaka yang celaka.

Sebelum tulisan ini disiapakan, penulis banyak menghabiskan masa meneliti untaian nasihat, taujihat dan kalam sirah disampaikan pimpinan guna memujuk hati.

Sungguh, terlalu banyak sebenarnya hikmah disebalik tidak bertandingnya PAS dalam PRN Sabah ini.

Ketahuilah, Islam yang didukungi oleh PAS tidak akan malap sinarnya sungguhpun surut kerusi pilihan rayanya, sungguhpun tiada kerusi yang ditandinginya, sungguhpun kosong kerusinya.

Cahaya Islam yang didukungi PAS pasti akan menyinari segenap ruang bumi guna menyegar isi dalamannya.

Siapa sangka, PAS yang hanya ada 18 kerusi Parlimen mampu menjadi ‘King Maker‘ dalam suasana politik Malaysia hari ini berkat rencana para pemimpin membawa Islam sebagai penyelesaian menyatukan umat Melayu Islam tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.

Mesejnya cukup mudah difahami iaitu wajibnya penyatuan Melayu Islam dilakukan yang menjadi teras kepada pemerintahan negara Malaysia.

Dalam masa yang sama penyatuan bersama masyarakat majmuk juga perlu digembleng bagi sama-sama membina negara sejahtera yang berteraskan Islam sebagai penyelesaiannya.

Inilah gagasan yang dibawa PAS ketika semua parti mabuk hilang hala tuju mencari kemenangan sebelum PRU14 termasuklah cuba memujuk PAS menyertai gabungan mereka.

Namun sebaliknya dilakukan PAS apabila melalui pendekatan ta’awun siyasi PAS telah menubuhkan kuasa ketiga yang bernama Gagasan Sejahtera bagi menghadapi PRU14 sehingga PAS memenangi 18 kerusi Parlimen, mentadbir Kelantan Terengganu.

Pasca PRU14 ini jugalah lahirnya Muafakat Nasional atas inisiatif PAS mahu menyatukan orang Melayu Islam yang menjadi teras kepada negara ini.

Tangan dihulur kepada Umno yang kelemasan. Maka lahirlah Muafakat Nasional pada 14 September setahun yang lalu.

Bahkan selepas daripada itu Umno telah menyusun semula undang-undang tubuhnya memasukkan Islam sebagai teras perjuangan.

Rentetan daripada beberapa siri penindasan terhadap Melayu Islam, Kongres Maruah Melayu pula dianjurkan dan Tun Mahathir turut berhimpun bersama kumpulan-kumpulan Melayu Islam termasuklah PAS, Umno dan beberapa kelompok Melayu lain.

Sungguhpun Tun Mahathir berbeza pendekatan namun beliau juga berpandangan bahawa Islam adalah penyelesai kepada segala permasalahan negara.

22 bulan pemerintahan PH amat dirasakan oleh kelompok besar rakyat Malaysia apabila gabungan ini bukan sahaja tidak berjaya merancakkan ekonomi negara malah lebih buruk lagi hampir setiap hari menghiris hati majoriti rakyat Malaysia dengan mengherdik tiga tunjang utama negara iaitu Agama Islam, Bangsa Melayu dan Institusi Raja (3R).

Keruntuhan kerajaan bobrok PH hasil daripada pertelingkahan dalaman mereka sendiri adalah satu rahmat besar buat Malaysia.

Hasilnya lahirlah Perikatan Nasional yang bermula daripada kesepakatan ahli parlimen PAS, Umno-BN , BERSATU, STAR, PBS dan GPS kepada pembentukan parti politik yang menghimpunkan PAS, BERSATU, STAR dan SAPP.

Maka muafakat yang ada ini perlu terus diperkukuhkan untuk menghadapi PRU15 bagi melenyapkan sisa kesombongan PH dan rakan sekutunya termasuk WARISAN di Sabah.

Inilah ‘big picture‘ yang perlu difahami oleh semua yang mendukungi hasrat dan cita-cita yang sama.

Justeru apabila datangnya PRN Sabah, sekalian calon dan parti politik cuba menawarkan diri untuk menjadi wakil mereka di Dewan Undangan Negeri.

Tidak ketinggalan PAS Sabah yang awalnya berhasrat bertanding di 10 kerusi Dun dengan tidak menafikan kerjasama bersama Umno-BN dan rakan muafakat dalam Perikatan Nasional.

PAS berpegang dengan apa yang sudah dipersetujui iaitu ingin mengelak pertembungan sesama rakan sekaligus memberi ruang kepada pembangkang untuk mencapai kemenangan.

Keputusan tidak meletakkan calon PAS itu adalah strategi politik, walaupun pada awalnya PAS mendesak agar turut diberikan laluan.

Namun mekanisme menghadapi pilihan raya kena ada strategi betul dan dalam situasi ini perlunya mengelak perangkap yang dipasang musuh dengan tidak bertembung sesama sendiri yang natijahnya adalah kerugian.

Arahan pucuk pimpinan parti selepas rundingan kerusi amat kena pada masanya apabila melihat situasi semasa dan ‘big picture‘ yang disebutkan di atas.

Biarpun kesedihan melanda seluruh jentera akar umbi namun untaian sirah yang dikisahkan semula oleh para pimpinan cukup mengubat hati lara pejuang Islam negeri Sabah.

Bacalah sirah Perjanjian Hudaibiyah yang mencatatkan satu kisah perjanjian antara Islam dan Quraisy Makkah yang seolah-olahnya tidak menyebelahi Islam, namun hakikatnya rentetan daripada perjanjian inilah maka terjadinya Fathul Makkah dua tahun kemudian yang menandakan kejayaan Islam.

Baca juga kisah perang Dzatus Salasil mengisahkan Saidina Amru Al-Asy yang baru 6 bulan memeluk Islam dilantik menjadi ketua angkatan tentera Islam oleh Rasulullah S.A.W bersama sahabat agung Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Ketika peperangan itu, berlaku ketegangan antara Saidina Umar dan Saidina Amru kerana terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh Saidina Amru yang kelihatan janggal pada pandangan kalangan sahabat.

Antaranya, beliau tidak membenarkan pasukannya menyalakan api sekalipun mereka dalam kedinginan malam, kemudian mengimamkan solat Subuh dalam keadaan berjunub dengan hanya bertayamum. Malah selepas beroleh kemenangan, beliau tidak membenarkan tenteranya mengejar musuh yang lari.

Setibanya Saidina Amru bersama pasukan tenteranya di Kota Madinah bersama harta rampasan perang, Baginda Muhammad S.A.W meminta beliau memberikan penjelasan mengenai perkara janggal dilakukannya.

Ternyata setiap tindakan beliau sebagai panglima perang ada asas dan kebenarannya kemudian diperakui oleh Rasululullah S.A.W.

Nah, inilah yang berlaku dalam PRN Sabah.

Sekalipun semangat ahli bawahan berkobar-kobar mahu mengibarkan bendera PAS dalam pertandingan PRN, namun ia perlu disandarkan dengan ijtihad daripada pimpinan yang berada di puncak.

Pimpinan memahami kesedihan dan kekecewaan yang dialami ahli PAS seluruhnya. Tetapi pimpinan melihat kepada agenda yang lebih besar dan seluruh jentera parti juga akur kerana melihat agenda yang lebih besar ini.

Air mata kesedihan perlu dikesat diganti dengan semangat mengejar ‘big picture‘ yang disasarkan.

Selepas penamaan calon semalam, kita menyaksikan seramai 447 calon daripada 17 parti politik termasuk Bebas cuba merebut 73 Dun yang dipertaruhkan.

70 daripada calon-calon ini adalah terdiri daripada rakan muafakat PAS iaitu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

PAS telah menyatakan komitmen untuk membantu memenangkan calon-calon ini di kerusi masing-masing.

Seluruh jentera akan digerak. Seluruh kudrat akan dikerah.

PAS akan pastikan WARISAN Plus PH akan jatuh dalam pilihan raya kali ini.

‘Kasi Jatuh WARISAN-PH’ akan jadi realiti.

Catatan politik kasih sayang,
MUSTAMAN MUSTAIN
Taman Indah Jaya, Sandakan.

- Advertisement -